Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
Sudah menjadi kelaziman setiap kali tibanya bulan suci Ramadan, gerai Ramadan menjual variasi juadah berbuka puasa dapat dilihat di mana-mana.
Kesyukuran pasti dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat pada tahun ini apabila gerai-gerai Ramadan kembali lagi menyemarakkan suasana bulan suci Ramadan bagi kunjungan orang ramai, setelah dihadkan operasinya pada tahun lalu akibat penularan wabak COVID-19.
Di mana pun lokasinya, suara riuh-rendah dapat kedengaran dengan para peniaga mempromosikan jualan mereka sambil melayan para pembeli untuk memenuhi cita rasa juadah bersungkai mereka.
Walaupun menjalani ibadah kewajipan berpuasa, namun jiwa dan raga para peniaga tetap bersemangat untuk meraih sumber rezeki dalam bulan suci ini.
Variasi pilihan menawan cita rasa
Salah satu lokasi gerai Ramadan yang tidak pernah lekang dek kunjungan orang ramai, adalah Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang merangkumi lebih 200 petak jualan.
Bazar yang mula beroperasi seawal jam 2 petang itu menyediakan pelbagai aneka juadah pilihan.
Bermula dari hidangan tradisi Brunei sehinggalah hidangan nusantara dan barat, masakan tradisi India dan makanan halal Cina juga tersedia di sana.
Sajian tempatan yang dijual termasuk pais ayam dan daging bakar, pulut panggang, cendol, air kausar, pilihan masakan nasi dan mi, pelbagai hidangan laut yang menyelerakan, kuih-muih dan sebagainya.
Segala-galanya dapat dijumpai di bazar berkenaan. Semuanya pasti menepati cita rasa orang ramai.
Bahang api tidak mematahkan semangat
Walau berhadapan dengan bahang api daripada masakan, namun semangat berdikari jelas tergambar dalam diri salah seorang peniaga wanita tempatan, Dayang Razalina binti Haji Dullah bersama suami yang mengusahakan masakan jenis salaian seperti ikan, sayap ayam dan tongkeng.
Beliau yang berasal dari Kampung Jangsak ini merakamkan kegembiraan kerana dapat sama-sama mencari rezeki bersama para peniaga yang lain sepanjang bulan Ramadan ini.
Namun dalam meraih peluang yang dibenarkan oleh pihak kerajaan ini, selaku penjual mahu pun pengendali makanan serta golongan pengunjung haruslah sentiasa berwaspada dan jangan leka dalam aspek kesihatan dan keselamatan untuk kebaikan bersama.
“Berkecimpung dalam dunia perniagaan ini sememangnya bermula secara kecil-kecilan sejak tahun 2007 dan kebiasaannya kami berniaga di Kampung Mata-Mata.
Inilah aktiviti tahunan kami sepanjang bulan Ramadan untuk sama-sama mencari rezeki.
Alhamdulillah, gerai Ramadan telah kembali lagi!” ujarnya lagi yang turut dibantu oleh para pekerja dalam menjalankan perniagaannya di bawah Nursyaiman Nufyan Enterprise.
Sahut cabaran meski pengalaman pertama
Pastinya terselit di hati kecil para peniaga untuk memohon agar limpahan rezeki sentiasa mengalir dalam meniti hari-hari dunia perniagaan yang penuh cabaran.
Begitulah yang diharapkan oleh salah seorang peniaga masakan sayap ayam ala Korea di bawah Syarikat Fwings, Dayangku Nur Waiedah binti Pengiran Haji Bahar bersama ahli keluarga yang lain yang mana ia merupakan pengalaman pertama mereka mengikuti Bazar Ramadan pada tahun ini.
“Pandemik COVID-19 yang melanda sememangnya tersimpan hikmah di mana ia juga mengerakkan semangat kami untuk menceburi dunia perniagaan dalam talian.
Dari situ kami dapat mengembangkan perniagaan kami terutamanya di kalangan pelanggan setia kami menerusi tempahan secara dalam talian atau pun mengunjungi ke gerai utama kami di Batu Bersurat.
“Ia merupakan satu penghargaan buat kami kerana dapat menyertai bazar ini dan ia sedikit sebanyak dapat membantu mendedahkan lagi produk perniagaan kami kepada orang ramai, lagipun sambutan amat menggalakkan sejak bazar ini membuka tirainya,” tambahnya dengan penuh kesyukuran.
Begitulah indahnya bulan Ramadan yang bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda bagi setiap amal ibadat yang dilaksanakan, namun kehadirannya juga bagaikan pencetus pintu rezeki seluas-luasnya bagi insan-insan yang gigih berusaha, berkarih dan berjarih dalam mencari pendapatan dalam berniaga.