Tuesday, January 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Geraint meterai kontrak baharu bersama Ineos

    LONDON, 21 DIS – Bekas pemenang Tour de France Geraint Thomas (gambar) telah memeterai kontrak dua tahun baharu untuk kekal bersama Ineos, umum pasukan lumba basikal Britain semalam.

    Pelumba Wales berusia 35 tahun itu, yang telah bersama pasukan, sebelumnya Team Sky, sejak musim pertama mereka pada 2010, telah menghabiskan dua minggu lalu di kem pra musim 2022 di Mallorca, bersedia untuk memulakan musim ke-16 sebagai seorang pelumba profesional.

    Pemenang Tour de France 2018, yang mengalami kecederaan bahu semasa perlumbaan pada tahun lalu, berkata dia masih bersemangat untuk meneruskan cita-citanya.

    “Saya amat teruja mengenai tahun-tahun sebelum ini dalam karier saya bersama pasukan,” katanya. “Ia bakal menyeronokkan, itulah yang paling penting.

    “Orang sentiasa bertanyakan saya mengenai peranan saya dan jelasnya saya mahu terus memenangi perlumbaan, tetapi menjadi sebahagian daripada pasukan dan berseronok bersama beberapa rakan sepasukan terbaik juga penting – dan untuk melakukannya saya perlu berusaha sedaya upaya.”

    Penolong pengurus pasukan Ineos Rod Ellingworth berkata: “G telah bersama kami sejak dari awal. Dia pernah memenangi perlumbaan terbesar, menjadi mentor kepada pelumba lebih muda, menjadi duta cemerlang untuk sukan dan membantu memberikan inspirasi kepada pelumba lain.

    “Kami tahu dia masih mempunyai banyak peluang. Dia dahagakan lebih banyak kejayaan pada peringkat tertinggi.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda