Gerakan mencari mangsa terus dipergiatkan

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 17 Dis – Berkesinambungan dengan tragedi seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dipercayai hilang diheret buaya, kerja-kerja pencarian masih lagi giat dijalankan di kawasan sungai di Kuala Tutong, hari ini.

Beberapa agensi kerajaan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Balai Polis Tutong, Polis Marin, Pasukan Simpanan RU ‘C’ dan 11 orang anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) termasuk Unit Penyelam serta ahli keluarga dan orang ramai terlibat sama dalam usaha mencari di persisiran sungai di Kuala Tutong.

Turut hadir di tempat kejadian pagi tadi ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku penghulu Mukim Tanjong Maya.

Yang Berhormat Haji Abdul Wahab ketika ditemu bual menyarankan orang ramai yang ingin memancing atau yang hendak berkelah di kawasan tepi sungai atau laut berkenaan perlu berjaga-jaga dan mencadangkan pihak kerajaan agar membuat tanda-tanda keselamatan di setiap tebing sungai yang telahpun dikenalpasti ada buaya.

Beliau juga menyatakan terima kasih kepada pihak kerajaan yang berkerja keras mencari mangsa dan meluahkan rasa berdukacita terhadap insiden tersebut serta mendoakan mangsa akan dapat ditemukan.

Kejadian berlaku semasa ahli keluarga mangsa sedang berkelah di tebing sungai di Kuala Tutong kelmarin.

Mangsa seterusnya dipercayai diheret oleh seekor buaya ke dalam sungai dan terus menghilang daripada pandangan ahli keluarganya yang lain.

Beberapa agensi kerajaan serta ahli keluarga dan orang ramai berkumpul ketika usaha mencari mangsa yang dipercayai diheret buaya.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan misi mencari mangsa di kuala Sungai Tutong, kelmarin.