Geran bantu Agropreneur Muda berjaya

GEORGE TOWN – Keputusan K. Ramana, 30, untuk meninggalkan gaji lumayan dan karier sebagai juruterbang pesawat komersial dengan menceburi bidang pertanian empat tahun lalu, ternyata tidak sia-sia.

Hal ini disebabkan, siswazah lulusan sebuah institusi pengajian penerbangan di Thailand itu bukan sahaja berjaya membuktikan pertanian mampu menjana pendapatan lumayan malah dapat mencipta industri baharu dalam pengeluaran makanan ternakan haiwan.

Melalui bimbingan dan bantuan geran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, syarikat penanaman jagung bijirin miliknya iaitu Famox Plantation (M) Sdn Bhd di Merbok Kedah, berupaya menjana pendapatan bulanan mencecah jutaan ringgit.

Ramana, adalah contoh usahawan berjaya di bawah Program Agropreneur Muda Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang diwujudkan sejak tahun 2016 seiring pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 untuk golongan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Dia juga sebagai pengasas dan pengarah urusan Famox Plantation menerajui bidang penanaman jagung bijirin di Malaysia setelah yakin dengan potensi lumayan sektor pertanian dapat menjana ekonomi negara.

K. Ramananaidu (dua, kiri) menunjukkan baka anak lembu yang dipeliharanya kepada Datuk Haslina Abdul Hamid (dua, kanan) dan Pengarah Unit Agroprenuer Muda, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohamad Ezri Shamsuddin. – Bernama

“Sektor pertanian bukan pilihan golongan muda untuk meneruskan kerjaya…tetapi bagi saya persepsi ini perlu diubah kerana pertanian mempunyai masa depan yang sangat lumayan. Bantuan serta geran daripada kerajaan banyak membantu mengurangkan kos pengeluaran tanaman jagung bijirin syarikat saya,” katanya ketika ditemui media sempena Program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) zon utrara yang berlangsung pada 13 hingga 15 Mac lalu.

Ladang jagung bijirin miliknya yang berkeluasan 58 hektar di Merbok, Kedah, turut menanam ubi kayu (cassava) dan menternak lembu sebagai langkah untuk mengoptimumkan penjanaan hasil tanaman dan penternakan sepanjang tahun syarikatnya.

Atas semangat dan komitmen tinggi dalam sektor pertanian dan perladangan, anak muda dari Bedong, Kedah ini menerima pelbagai anugerah antaranya Ikon Agropreneur Muda 2018/2019 (Perladangan).

Program Agropreneur Muda

Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid berkata sejak tahun 2016, terdapat lebih 5,000 usahawan telah menerima geran Agropreneur Muda yang bernilai sehingga RM20,000 dalam bentuk peralatan seperti mesin, benih, baka, khidmat nasihat dan sebagainya.

Inisiatif geran Agropreneur Muda yang disuntik kerajaan kepada usahawan belia tempatan ini bukan sahaja membolehkan mereka berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda malah mereka dapat menceburi pasaran antarabangsa.

Katanya, dalam mencapai sasaran seramai 1,200 belia menceburi program agropreneur tahun ini, kementerian menganjurkan buat tahun kedua Jelajah Agropeneur Muda (JAM) bermula di zon utara.

Namun, katanya disebabkan negara kini sedang menghadapi ancaman penularan wabak COVID-19, JAM yang sepatutnya seterusnya ke zon timur, terpaksa ditangguhkan ekoran keadaan semasa wabak COVID-19 yang melanda ketika ini.

Eksport produk, untung berlipat ganda

Seorang peserta kursus, Mohd Amir Farhan Mohd Zarif, 23, yang sedang berjinak-jinak dalam penternakan berkata beliau mengikuti kursus itu untuk merancang hala tuju perniagaan penternakan lembu hibrid.

“Alhamdulillah, banyak yang saya pelajari daripada kursus ini dan ia sangat bermanfaat, Saya masih baru dalam bidang ini namun saya merancang mengembangkan ternakan lembu,” katanya yang kini mempunyai seekor lembu jantan dan tiga ekor lembu betina.

Seorang lagi usahawan Agropreneur Muda yang berjaya ialah pengusaha dodol enzim, G. Devandaran, 30, yang kini memperoleh hasil jualan mencecah sehingga RM250,000, sebulan, berbanding sebelum ini iaitu sekitar RM5,000 dan RM6,000.

Bantuan dalam bentuk geran, mesin dan khidmat nasihat yang diterima daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), telah membantu syarikatnya Malayan Food Venture, di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran dodol enzim sehingga dapat memenuhi pasaran antarabangsa.

Devandaran yang menjalankan perniagaan dodol enzim sejak tiga tahun lalu berkata ketika mula mengusahakan dodol, beliau hanya memasarkan dodol ke kedai-kedai runcit berdekatan. Namun, atas pelbagai bantuan kerajaan, Devandaran berupaya memperluaskan pemasaran eksport dodol enzim ke Emiriah Arab Bersatu, Mexico, Singapura, Amerika Syarikat, China dan Indonesia. – Bernama