Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Pasukan Ubd Staff Gerende muncul juara Kejohanan Terbuka Futsal Staf Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Jemputan 2017 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Gadong di sini.
Kemenangan 2-1 ke atas Pasukan UBD Staff 555 membolehkan Gerende menjulang piala kemenangan dan tampil di tempat ketiga adalah Pasukan Politeknik dan keempat pula disandang oleh Pasukan Jabatan pembangunan Ko-Kurikulum.
Sementara itu pada Jumaat lalu, Pasukan UBD Legend telah menjuarai Kejohanan Futsal Staf IPT dan Jemputan 2017 bagi kategori veteran, yang berlangsung di venue yang sama.
Pasukan UBD Legend mencatatkan empat kemenangan daripada lima perlawanan, mengumpulkan 12 mata untuk muncul juara dalam perlawanan kumpulan diikuti oleh Pasukan K5 yang akur di tempat kedua apabila hanya berpuas hati dengan 10 mata.

RTB Vet mengutip lapan mata berada di tempat ketiga dan diekori rapat oleh Pasukan JPKK yang berada di tempat keempat dengan tujuh mata. Dua lagi pasukan lain yang turut serta dalam penganjuran itu adalah Pasukan MOE Mahawangsa dan UNISSA Veteran masing-masing menduduki tempat kelima dan keenam.
Menurut kenyataan penganjur, kejohanan berkenaan adalah acara khas bagi warga IPT dan jemputan bagi kategori veteran dan penglibatan semua pihak bagi menjayakan kejohanan adalah sangat dihargai.
Hadir menyaksikan dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pensyarah Kanan UBD, Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong.