Gergasi Eropah menyerlah

PARIS, 6 SEPT – Pasukan terkemuka England, juara dunia Perancis, penyandang juara Portugal dan Belgium memulakan kempen Liga Negara-Negara dengan kemenangan.
England memerlukan penalti dalam masa kecederaan untuk menewaskan Iceland 1-0 manakala Perancis turut mengatasi Sweden dengan keputusan sama.

Portugal yang turun tanpa Cristiano Ronaldo membelasah Croatia 4-1 dengan pasukan ranking tertinggi Belgium menundukkan Denmark 2-0.

Dalam aksi di Porto, Ronaldo tidak diturunkan kerana kecederaan ibu jari kaki akibat sengatan lebah.

Joao Cancelo, Diogo Jota, dengan gol antarabangsa pertamanya, Joao Felix dan Andre Silva menemui sasaran untuk Portugal.

Croatia tampil tanpa kelibat Luca Modric dan Ivan Rakitic yang mempunyai 233 kap antara mereka.

Bruno Petkovic meledak gol tunggal Croatia dalam masa kecederaan.

Di Copenhagen, Belgium menewaskan Denmark 2-0 untuk kekalahan pertama tuan rumah di laman sendiri dalam tempoh empat tahun dan yang pertama buat pengendali baharu Kasper Hjulmand. Belgium, tanpa Vincent Kompany yang sudah bersara dan Kevin de Bruyne, yang menyambut kelahiran anak ketiganya, mendahului permainan hanya selepas sembilan minit menerusi Jason Denayer.

Dries Mertens menambah jaringan pada minit ke-77. – AFP

Cancelo (tengah) ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya semasa perlawanan menentang Croatia di Porto dengan keputusan berakhir 4-1. – AP