MANCHESTER, 28 April – Marouane Fellaini telah diarahkan keluar padang atas kecuaiannya menghantukkan kepalanya dengan kepala Sergio Aguero dalam perlawanan antara dua pesaing Manchester iaitu Manchester United dan Manchester City, perlawanan itu berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat seri 0-0 di Stadium Etihad.
Fellaini dilayangkan kad kuning pertama kerana mengasari Aguero pada minit ke-84, dan beberapa saat kemudian dia melakukan foul sekali lagi ke atas Aguero namun kali ini dengan terang-terangan menghantukkan kepalanya dengan kepala Aguero, menyebabkan pengadil Martin Atkinson tidak ada pilihan lain selain mengarahkan pemain Belgium itu keluar padang.
“Kami pasukan yang lebih baik di separuh masa pertama, mereka adalah pasukan yang lebih baik di separuh masa kedua,” kata pengurus United, Jose Mourinho.
“Mereka menguasai bola, lebih banyak peluang, tetapi pemain-pemain saya berjuang dengan hebat.”
Meskipun United mengekalkan rekod tanpa tewas dalam 24 perlawanan Liga Perdana, menyamai rekod kelab, keputusan seri itu bermakna City kekal mempunyai kelebihan dalam memburu kedudukan keempat teratas liga.

Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan, City hanya mempunyai dua peluang keemasan daripada Aguero di awal perlawanan, dan pemain gantian Gabriel Jesus mendapati tandukannya di masa kecederaan dibatalkan kerana berada di kedudukan ofsaid.
“Mereka mencipta dua peluang yang terbuka dan saya berpuas hati,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
“Kami akan menghadapi beberapa perlawanan sukar selepas ini dan kami tahu ia bukan satu pilihan untuk tidak memenangi perlawanan-perlawanan itu.”