Gergasi teknologi diberi amaran

WASHINGTON, 9 JUN – Kerajaan China menghimpunkan sejumlah syarikat teknologi gergasi minggu ini dan memberi amaran kepada mereka mengenai akibat buruk sekiranya mereka menghentikan penjualan teknologi dengan negara itu, menurut laporan media Amerika Syarikat (AS).

Mesyuarat itu diadakan susulan tindakan Presiden AS, Donald Trump, pada bulan lepas menyenaraikan hitam gergasi teknologi China, Huawei atas alasan kebimbangan keselamatan kebangsaan, mengancam cita-cita global firma itu dan meningkatkan lagi ketegangan perang perdagangan selama berbulan-bulan antara kedua-dua negara.

Awal minggu ini, kerajaan China telah memanggil eksekutik-eksekutif dari firma Amerika, Dell, Microsoft dan Samsung dari Korea, serta yang lain untuk memberi amaran kepada mereka bahawa mana-mana langkah untuk menghentikan perdagangan dengan China boleh membawa kepada tindakan balas, menurut laporan The New York Times.

Syarikat-syarikat Amerika diberitahu “bahawa tindakan pentadbiran Trump menghentikan syarikat-syarikat China daripada mendapatkan teknologi Amerika telah menjejaskan rangkaian bekalan dunia, menambah syarikat-syarikat yang mengikut dasar itu akan berdepan kesan kekal,” menurut laporan akhbar itu.

Beberapa buah syarikat yang berpangkalan di luar AS diberitahu bahawa selagi mereka mengekalkan perdagangan seperti biasa, mereka tidak akan berdepan hukuman, lapor akhbar tersebut.

Gambar fail yang diambil pada 21 Mei 2019 menunjukkan seorang ahli media memegang telefon Huawei Honor 20 series semasa pelancarannya di London. – AP

Jumaat lepas, Facebook mengumumkan bahawa ia telah memutuskan hubungan dengan Huawei daripada aplikasi rangkaian sosialnya untuk patuh pada sekatan AS, menyisihkan syarikat yang telah menjadi peniaga telefon pintar kedua terbesar dunia itu.

Google membuat pengumuman yang serupa pada bulan Mei.

Washington dan Beijing meneruskan lagi perang perdagangan mereka bulan lepas ketika perundingan dengan AS berakhir tanpa sebarang perjanjian dan presiden AS meningkatkan tarif ke atas AS$200 bilion bagi barangan China.

Beijing membalas dengan tarifnya sendiri yang bernilai berbilion dolar ke atas barangan AS.

Seterusnya AS bertindak memutuskan Huawei daripada mendapatkan perkakasan Amerika, tetapi ia ditangguhkan selama 90 hari bagi mencegah daripada gangguan ekonomi. – AFP