Gerhana bulan separa paling lama

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Penduduk di Negara Brunei Darussalam berpeluang menyaksikan fenomena astronomi gerhana bulan separa selama 46 minit, hari ini.

Menurut Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), kejadian gerhana juga boleh disaksikan di sebahagian kawasan Asia, Australia, Utara dan Selatan Amerika, Pasifik, Atlantik dan Artik.

Fenomena itu menyaksikan bulan hampir berbayang sepenuhnya ketika kedudukan matahari, bumi dan bulan hampir membentuk garis lurus serta bulan berada dalam fasa purnama.

Gerhana itu bermula pada pukul 2:02 petang waktu tempatan apabila bulan memasuki bayangan bumi separa gelap iaitu penumbra.

Namun, Negara Brunei Darussalam hanya mengalami peringkat-peringkat akhir gerhana disebabkan bulan berada di bawah ufuk.

Gambar gerhana bulan separa yang diambil dari Sungai Tutong di Kuala Tutong. – Gambar oleh Bahiyah Bakir
Ahli-ahli PABD menyediakan peralatan mereka sekitar jam 4 petang kelmarin.

Gerhana hanya boleh diamati sejurus bulan terbit pada pukul 6:01 petang, apabila bayang bumi yang paling gelap iaitu umbra telah menutupi 56 peratus permukaan bulan.

Jika keadaan tidak berawan, orang ramai boleh menyaksikan hampir separuh permukaan bulan yang terbit dalam keadaan gelap di atas ufuk timur.

Kejadian gerhana bulan separa berakhir apabila bulan keluar daripada bayang umbra pada jam 6:47 petang.

Bulan akan meninggalkan keseluruhan bayang bumi dan gerhana bulan fasa penumbra tamat pada pukul 8:03 malam.

Orang ramai berpeluang mengikuti penstriman langsung gerhana bulan separa dalam akaun media sosial Facebook dan YouTube PABD bermula pukul 5:30 petang dengan pencerapan secara dalam talian tersebut juga adalah atas sokongan Majlis Perundingan Kampung Penabai Kuala Tutong.

Gerhana bulan yang seterusnya boleh disaksikan di negara ini iaitu pada 8 November 2022.