Gerhana separa kelihatan di hemisfera utara

PARIS, 10 JUN – Gerhana matahari akan dapat dilihat di hemisfera utara bumi hari ini dengan sebahagian kawasan terpencil di Kanada dan Siberia akan menyaksikan pemandangan terbaik fenomena cakerawala itu.

Gerhana separa itu bermaksud penduduk yang berada di bawah bayangannya itu tidak akan berada dalam kegelapan pada siang hari.

Sebaliknya, mereka yang berada pada penglihatan maksimum – yang memerlukan penggunaan alat pelindung mata – akan dapat menyaksikan selama beberapa minit bayangan bulan dilingkari matahari.

Di barat laut Kanada, utara Rusia, barat laut Greenland dan Kutub Utara, matahari akan dilindungi sekitar 88 peratus oleh bulan.

Gerhana itu akan dapat dilihat oleh para pemerhati di barat laut Amerika Utara, sebahagian Eropah termasuk Perancis dan United Kingdom dan beberapa negara di utara Asia.

Jika langit cerah, penduduk London akan dapat menyaksikan bulan melitupi 20 peratus matahari pada kadar maksimum jam 11:13 pagi (10:13 GMT).

“Penduduk yang jauh di tenggara, mungkin hanya akan samar-samar menyaksikan matahari,” kata Florent Delefie dari Jabatan Pencerapan Paris kepada AFP.

Dia menasihatkan orang ramai untuk tidak melihat matahari secara langsung – meskipun menggunakan kaca mata atau di sebalik awan – memberi amaran ‘kerosakan retina yang tidak dapat disembuhkan’.

Mereka yang ingin menyaksikan gerhana itu boleh membeli alat perlindungan mata khas dan jabatan itu juga akan menyiarkan secara langsung fenomena itu dalam saluran YouTubenya. – AFP

Jurugambar berdiri di dek bagi menyaksikan gerhana matahari separa di New York pada 10 Jun. – AFP