Gerrard disahkan positif COVID-19

LONDON, 26 DIS – Ketua jurulatih Aston Villa, Steven Gerrard akan terlepas dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya selepas disahkan positif COVID-19, menurut pengumuman kelab itu kelmarin.

“Aston Villa boleh mengesahkan ketua jurulatih, Steven Gerrard tidak akan menghadiri dua perlawanan EPL kami berikutnya dengan Chelsea dan Leeds United kerana dia akan menjalani pengasingan diri selepas disahkan positif COVID-19,” menurut kenyataan kelab tersebut.

Gerrard akan terlepas perlawanan Boxing Day di gelanggang sendiri menentang Chelsea dan kunjungan Leeds pada hari Selasa, jika perlawanan tersebut diteruskan.

Perlawanan terakhir Aston Villa, di gelanggang sendiri menentang Burnley, ditangguhkan sejurus sebelum perlawanan bermula pada 18 Disember lalu selepas penularan COVID-19 di kem Villa. – AFP