Gerrard kembali sebagai pengurus Aston Villa

LONDON, 11 NOV – Steven Gerrard akan mendapat pengalaman pertama dalam pengurusan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pemain tengah Liverpool yang hebat itu dilantik sebagai pengurus Aston Villa hari ini.

Gerrard telah meninggalkan pe-ranannya sebagai pengurus Rangers untuk mengambil alih pimpinan kelab Midlands, yang memecat Dean Smith pada Ahad lalu selepas lima kekalahan berturut-turut dalam liga.

Dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah EPL, Gerrard telah membuat permulaan yang memberi harapan dalam kerjaya pengurusannya dalam menghidupkan semula nasib pasukan gergasi Glasgow itu.

Pelatih berusia 41 tahun itu membimbing Rangers merangkul kejuaraan Liga Perdana Scotland pertama dalam tempoh 10 tahun musim lalu, menamatkan kempen tanpa kalah dalam liga buat kali pertama dalam tempoh 122 tahun.

Gerrard juga membuat kemajuan di Eropah, mara ke peringkat kalah mati Liga Europa untuk dua musim lalu.

Villa menduduki tempat ke-11 dalam EPL musim lalu, tetapi mempunyai cita-cita untuk mencabar Eropah selepas membelanjakan hampir AS$402 juta untuk pemain sepanjang tiga musim lalu.

Bagaimanapun, Smith terkesan atas kehilangan Jack Grealish kepada Manchester City pada Ogos dengan rekod Britain GBP$100 juta, dengan pemain baru Danny Ings, Leon Bailey dan Emi Buendia menghadapi kesukaran untuk mengekalkan prestasi dan kecergasan.

Villa berada di tangga ke-16 dalam EPL, dua mata di atas zon penyingkiran, selepas 11 perlawanan.

“Lembaga pengarah Aston Villa gembira melantik Steven sebagai ketua jurulatih baharu kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Christian Purslow.

Gerrard dijangka akan kembali ke Liverpool sebagai pengurus pada beberapa peringkat tetapi kini mempunyai tugas untuk membuktikan dirinya dalam salah satu liga paling sukar di dunia. – AFP

Aston Villa hari ini mengumumkan pelantikan Steven Gerrard sebagai pengurus baharu mereka menggantikan Dean Smith. – AFP