Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    GFP-SPO dijadikan rujukan skim pensijilan minyak sawit

    KUALA LUMPUR, 12 JULAI –  Prinsip Rangka Kerja Global Minyak Sawit Mampan (GFP-SPO)  boleh digunakan sebagai rujukan merentasi skim pensijilan berbeza yang digunakan terutamanya untuk pengeluaran minyak sawit yang menjadikan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) sebagai asasnya.

    GFP-SPO diperkenalkan dalam satu webinar yang berlangsung kelmarin, di acara sampingan ketika Forum Politik Peringkat Tinggi Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 (ECOSOC HLPF).   

    Acara itu dikendalikan oleh Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dengan kerjasama kerajaan Indonesia, Malaysia, Filipina, dan Komuniti Kelapa Sawit Antarabangsa (ICC).

    Ia turut dihadiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto.

    Zuraida berkata walaupun GFP-SPO dibangunkan menerusi lensa minyak sawit bagi mengukur sumbangan minyak sawit ke arah mencapai pembangunan mampan, ia sebenarnya boleh digunakan sebagai rujukan kemampanan bagi minyak sayuran lain seperti soya, biji sawi, bunga matahari dan lain-lain.

    “Oleh itu, adalah penting bagi ECOSOC HLPF untuk mengiktiraf GFP-SPO sebagai satu langkah ke hadapan dalam menerima minyak sawit sebagai minyak sayuran mampan selaras dengan prinsip SDG,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Airlangga berkata saiz pasaran minyak sayuran global dijangka meningkat daripada 199.1 juta tan pada 2020 kepada 258.4 juta tan menjelang 2026 dengan mengambil kira populasi global yang semakin meningkat dan penggunaan minyak sayuran yang meluas dalam pelbagai industri. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...