Ghani tuntut penjelasan komen Trump

KABUL, 23 JULAI – Presiden Afghan Ashraf Ghani berkata hari ini Amerika Syarikat (AS) harus menjelaskan kata-kata yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump mengenai Afghanistan, termasuk satu dakwaan beliau boleh memenangi peperangan dengan mudah tetapi tidak mahu ‘membunuh 10 juta orang.’

Pemimpin AS itu membuat beberapa kenyataan mengejutkan semalam di sisi Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di Rumah Putih, termasuk beliau mempunyai rancangan untuk menamatkan konflik Afghan, tetapi akan menghapuskan negara ‘daripada muka bumi ini.’

Afghanistan “akan lenyap. Ia akan lenyap dalam 10 hari,” kata Trump, menambah “Saya tidak mahu mengambil jalan itu” dan beliau tidak mahu membunuh berjuta-juta orang.

Komen beliau mencetuskan kemarahan di Afghanistan, di mana penduduk telah pun bimbang mengenai pengeluaran tentera AS dan sama ada ia bermakna kepulangan kepada pemerintahan Taliban dan perang saudara.

“Kerajaan Republik Islam Afghanistan meminta penjelasan mengenai kenyataan presiden AS yang dinyatakan pada satu pertemuan dengan perdana menteri Pakistan, menerusi saluran diplomatik,” kata pejabat Ghani dalam satu kenyataan.

Trump juga berkata Pakistan akan membantu AS ‘bebaskan’ dirinya dari Afghanistan, menambah terdapat ‘potensi besar’ dalam hubungan di antara Washington dan Islamabad.

Afghanistan telah menyalahkan Pakistan kerana mencetuskan konflik Afghan dan menyokong Taliban, dan Ghani berasa marah kerana sering diketepikan oleh AS dalam rundingan perdamaian berterusan dengan Taliban. – AFP