Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Ghanim International Corporation hari ini, telah melancarkan pengedaran produk Western Food and Packaging Sdn Bhd (WFP) iaitu marjerin pelbagai guna, Butter Dreams ke pasaran tempatan.
Marjerin pelbagai guna dengan pembungkusan baharu 450g kini boleh didapati di semua cawangan The Junction di Mentiri, Tungku Armada, Kiarong, Gadong Central, Salambigar, Kios Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta pasar raya seperti Hua Ho Department Store Manggis dan SKH Department Store.
Ketua Pegawai Eksekutif, Ghanim International Corporation, Dr Nur Rahman berkata, “Kami gembira dapat bekerjasama dengan WFP untuk pengedaran Butter Dreams ke pasaran tempatan dan kami berharap dapat mempromosikannya ke pasaran antarabangsa.”
Selama bertahun-tahun, Ghanim telah membangunkan pelbagai jenis produk di bawah jenama bruneihalalfoods dengan kerjasama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang dipromosikan ke pasaran tempatan dan antarabangsa termasuk China, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bangladesh.
Menyentuh mengenai WFP, kilang pembuatannya telah siap pada 2017 di Serasa dengan matlamat untuk membangunkan keupayaan bagi pembuatan berasaskan produk minyak dan lemak di Brunei Darussalam untuk dibekalkan di dalam negara dan eksport.
Syarikat itu berhasrat untuk mengembangkannya di seluruh Asia, Eropah dan Afrika dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, produk WFP telah berkembang yang menjurus kepada pasaran pengguna tempatan terutamanya dalam segmen B2B di Negara Brunei Darussalam.
Dengan pelancaran pembungkusan untuk marjerin pelbagai guna Butter Dreams ke pasaran, baru-baru ini, WFP akan terus meneroka pengeluaran produk pengguna lain dalam masa terdekat.