Ghanim International beli hasil tani pengusaha tempatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Dalam menangani penularan wabak COVID-19 pada 2020, premis jualan iaitu tamu dan pasar telah diarahkan untuk ditutup tetapi berbeza daripada tahun lalu, bagi langkah kawalan tahun ini, pasar serta tamu dibenarkan untuk dibukakan kecuali Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong yang beroperasi seminggu sekali diarahkan untuk ditutup sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Bantuan yang dihulurkan bagi peniaga-peniaga tamu dan pasar pada 2020 lalu bukan sahaja sewa tidak dikenakan tetapi mereka juga menerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam Brunei.

“Pada tahun ini, kami tidak menutup tamu, pasar dan sebagainya. Di Tutong, Tamu Tutong diarahkan untuk ditutup kerana ia beroperasi seminggu sekali sahaja.”

Namun begitu, Kempen Beli Hasil Tempatan yang dilaksanakan oleh Ghanim International yang telah mula diadakan sejak April 2020 memberikan peluang kepada para peniaga atau pengeluar produk pertanian tempatan untuk menjual barangan masing-masing.

Penjelasan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengulas jika terdapat bantuan yang dihulurkan kepada pihak yang terkesan seperti peniaga tamu dan gerai seperti yang dilakukan pada tahun lalu.

Berbeza tahun lalu, langkah kawalan kali ini membenarkan pasar dan tamu beroperasi. – Gambar fail

Melalui kempen berkenaan, Ghanim International akan berkunjung ke Tutong pada setiap Khamis untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan hasil pengusaha tempatan yang akan dibekalkan kepada pasar-pasar raya serta restoran-restoran yang memerlukannya, jelasnya lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menambah bahawa pada minggu hadapan, pihak Ghanim akan berkunjung ke Seria untuk memberikan bantuan yang serupa iaitu memberikan peluang kepada pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan menjual hasil keluaran mereka kepada pihak Ghanim.

“Melalui Ghanim International itu, mereka akan membekalkan barang-barang yang dibeli kepada pasar-pasar raya dan restoran. Ini merupakan antara langkah-langkah yang diambil untuk menolong pengusaha tempatan berkenaan,” tambahnya.

Inisiatif itu, jelas Yang Berhormat Dato, dihasratkan untuk membantu serta menggalakkan para pengusaha tempatan untuk terus berniaga dan berusaha mengeluarkan hasil tanaman sayur-sayuran serta buah-buahan.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa perkara itu terus dipantau dan dikaji di mana jika langkah-langkah pengawalan penularan wabak COVID-19 mengambil masa yang lebih lama, pihaknya akan meneliti bantuan yang dapat diberikan kepada peniaga dan pengusaha yang terjejas.