GHK motors pilih tiga pemenang promosi uji pandu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – GHK Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan Mitsubishi dan Perodua, telah mengadakan cabutan bulanan kali ketiga bagi Program Uji Pandu Mitsubishi dan Perodua yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook dari Bilik Pameran GHK Motors, Beribi, hari ini.

Majlis menyaksikan Dayang Asmah binti Haji Tamin memenangi hadiah pertama berupa wang tunai $300, Haji Mohd Khairul Rizal bin Haji Januddin memenangi $200 selaku pemenang kedua dan hadiah ketiga iaitu wang tunai $100 dimenangi oleh Hajah Raneya Az-Zahraa @ Hajah Roziahwatie binti Haji Abdul Latiff.

Cabutan bagi memilih ketiga-tiga pemenang telah dilakukan oleh Pengurus Besar Bahagian Penjualan Mitsubishi dan Perodua, Au Thien Kiong.

Menurut kenyataan yang diberikan, promosi berkenaan memberi peluang kepada para pelanggan untuk merasakan sendiri kehebatan pemanduan kenderaan berjenama Mitsubishi dan Perodua.

Uji pandu bagi Mitsubishi meliputi model Xpander, ASX, Attrage, Outlander, L200, Pajero Sport dan Lancer Ex manakala antara model Perodua ialah Alza dan Bezza.

Selain peluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah wang tunai, para pelanggan yang ikut serta dalam uji pandu tersebut bermula awal Januari hingga penghujung Mac lalu juga berkelayakan untuk menerima baucar minyak bernilai $300 jika mereka membeli kereta dalam tempoh 30 hari daripada tarikh uji pandu mereka.

Dalam pada itu, kenyataan menyatakan bahawa cabutan bagi Promosi Tawaran Raya 2020 akan diadakan pada pertengahan Mei depan.

Pelanggan yang membeli mana-mana model Mitsubishi dan Perodua dari awal Mac hingga awal Mei depan akan berkelayakan untuk memenangi hadiah-hadiah wang tunai bernilai $15,000.

Au Thien Kiong ketika membuat cabutan bagi memilih pemenang bulanan ketiga Program Uji Pandu Mitsubishi dan Perodua, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani