GHK sokong pengusaha trak makanan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – GHK Motors selaku pengedar tunggal bagi kenderaan Daihatsu di Brunei, telah menjemput syarikat trak makanan, Al Taib Enterprise bagi demonstrasi memasak secara langsung di luar bangunan GHK Motors, hari ini.

Al Taib Enterprise baru-baru ini telah membeli trak makanan Daihatsu daripada GHK Motors. Ia adalah perniagaan trak makanan tempatan yang menjual pelbagai jenis hidangan khas mereka seperti kolo mee.

Trak makanan tersebut telah mula beroperasi semasa gerai Ramadan pandu lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Bagi menyokong perniagaan milik tempatan, GHK Motors telah menjemput Al Taib Enterprise untuk menyediakan hidangan makan tengah hari dan membuat demonstrasi masakan secara langsung untuk kakitangan mereka.

Bagi mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan, GHK Motors memastikan dan menekankan pada pemakaian penutup mulut dan hidung, menjaga penjarakan sosial dan juga mengurangkan perkumpulan ramai.

Al Taib Enterprise kini beroperasi sepenuhnya di Taman Mahkota Jubli Emas di ibu negara.
GHK Motors menawarkan kenderaan jenama Daihatsu dan Maxus yang dapat diubah suai menjadi dapur mudah alih mengikut keperluan perniagaan pelanggan.

Menurut kenyataan yang diberikan, semua kerja pemasangan daripada peralatan dalaman hingga luaran seperti ketuhar, kabinet, fryer, peti sejuk dan meja boleh disediakan dan diusahakan secara tempatan oleh GHK Auto Assembly Sdn Bhd.

GHK Motors juga memberikan bantuan untuk permohonan permit ke Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) jika diperlukan, tambah kenyataan.

GHK Motors bermatlamat untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memfokuskan perniagaan makanan dan memberi sumbangan dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk mendorong perniagaan tempatan.

GHK Motors telah menjemput pengusaha trak makanan untuk menyediakan makanan tengah hari untuk kakitangannya di luar bangunan syarikat berkenaan di Beribi, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani