GHK tampilkan Mitsubishi ASX 2017

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – GHK Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta Mitsubishi di negara ini, hari ini memperkenalkan Mitsubishi ASX model 2017 di mana ia akan secara rasmi dilancarkan pada 6 Januari ini di Pusat Membeli-belah The Mall, Gadong pada jam 8 malam.

Perkara tersebut dikongsikan pada satu sidang media di Bilik Pameran GHK Motors, Beribi oleh Eksekutif Pemasaran Mitsubishi, Dayang Nur’izzah Nazihah binti Haji Kamsani.

Dayang Nur’izzah Nazihah menjelaskan bahawa sebanyak lebih satu juta Mitsubishi ASX telah dihasilkan sejak tahun 2010 yang membuktikan model ASX sebagai satu kejayaan secara global bagi Mitsubishi Motors dan juga terhadap pembangunan permintaan kereta Segmen-C Sport Utility Vehicle (SUV).

Beliau menambah bahawa Mitsubishi ASX yang juga dikenali sebagai ASX MY17 itu memiliki penampilan sportif dan moden, namun masih memegang konsep penampilan Dynamic Shield yang kini menampilkan bahagian depan kereta yang direka semula pada gril dan bampar dengan jalur-jalur berwarna krom.

“Pelanggan kini boleh menikmati Mitsubishi dengan teknologi-teknologi terkini, antara yang dilengkapi di dalam Pajero Sport seperti skrin sentuh dengan pemain CD, soket USB, Bluetooth, Auto Dual A/C, fungsi kawalan Audio dari stereng dan punat Auto/Start Engine,” ujar beliau.

(Dari kiri) Dayang Nur’izzah Nazihah bersama Pengurus Besar Mitsubishi, Au Thien Kiong dan Pengarah GHK Motors, Jake Goh.
(Dari kiri) Dayang Nur’izzah Nazihah bersama Pengurus Besar Mitsubishi, Au Thien Kiong dan Pengarah GHK Motors, Jake Goh.

ASX terbaru ini dikuasakan dengan enjin 2.0L MiVEC 4-silinder petrol digabungkan dengan transmisi 6-kelajuan automatik INVECS-III CVT direka khas untuk keselesaan pemanduan model tersebut.

“Apa yang menarik di dalam ASX kali ini terdiri daripada sistem keselamatan termasuk Sistem Dual beg udara termasuk beg udara bagi lutut pemandu, sistem pengesan titik buta, sensor hujan, Sistem Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD), kamera undur dan sensor,” tambah beliau.

Model terbaru ini juga dilengkapi dengan rangka badan yang lebih kuat yang boleh meningkatkan keselamatan penumpang yang dikenali sebagai Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).

Bagi orang ramai yang ingin menjalankan uji pandu, bolehlah datang terus ke Bilik Pameran GHK Motors di Beribi atau menghubungi 2423423 semasa waktu pejabat.