Ghosn bayangi lawatan Macron

TOKYO, 26 JUN – Presiden Perancis, Emmanuel Macron tiba di Jepun hari ini bagi perbincangan dua hala selepas satu tempoh sukar bagi sekutu lama antara Paris dan Tokyo susulan penahanan bekas taikun auto, Carlos Ghosn.

Lawatan Macron hadir beberapa hari sebelum Jepun menjadi hos sidang G20 di Osaka, dan pemimpin Perancis itu akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Shinzo Abe sebelum bertemu mahajara Jepun yang baharu ditabalkan, Maharaja Naruhito pada Khamis.

Macron akan menjadi pemimpin asing kedua untuk bertemu Naruhito, yang naik takhta bulan lepas setelah bapanya turun takhta.

Abe dan Macron telah menekankan bahawa hubungan mereka masih kukuh meskipun ketegangan yang dibawa oleh penahanan Ghosn, yang pernah menerajui kerjasama Nissan dan Mitsubishi Motors (Jepun), dan Renault (Perancis).

Tetapi perbezaan besar masih wujud bagaimana kerjasama auto itu perlu berkembang, dengan Renault mahukan integrasi lebih rapat dengan Nissan, namun firma Jepun itu keberatan.

Macron bertemu dengan penduduk Perancis pada persinggahan pertamanya dan memberitahu mereka bahawa kerjasama auto adalah sesuatu yang ‘dinilai dengan tinggi’, menggesa kesemua pihak untuk bekerja untuk menguatkannya bagi menghadapi persaingan antarabangsa. “Ini adalah sesuatu yang kita perlu lakukan bersama,” tambahnya.

Menjelang lawatan itu, Elysee Palace berkata Macron akan menumpukan pada ‘hubungan kukuh dalam kerjasama auto itu, dengan menambah dia berharap untuk mendengar sokongan dari Jepun dan Nissan bagi ‘kemampanan dan pengukuhan kerjasama itu. – AFP

Emmanuel Macron (kiri) berjabat tangan dengan Shinzo Abe selepas sidang media bersama di kediaman rasmi Abe di Tokyo. – AP