Ghosn kena dakwaan baharu

TOKYO, 11 Jan – Pihak pendakwa Tokyo hari ini memfailkan dua dakwaan baharu mengenai salah laku kewangan ke atas bekas pengurus Nissan, Carlos Ghosn, yang bererti taikun automobil itu tidak mungkin meninggalkan sel penjara dalam masa terdekat ini.

Peguam-peguam bagi bekas eksekutif itu berkata mereka akan memfailkan permohonan ikat jamin, tetapi mengakui bahawa dia mungkin akan ditahan sehingga perbicaraan.

Ghosn menafikan sebarang salah laku dan mengatakan dalam kemunculan dramatiknya di mahkamah Selasa lalu bahawa dia ‘dengan salah telah dituduh dan ditahan secara tidak adil’.

Dia telah pun berdepan dakwaan pertama dengan tuduhan membuat laporan tidak tepat mengenai ganti rugi dalam tempoh lima tahun sebanyak lima bilion yen dalam dokumen rasmi kepada para pemegang saham.

Tuduhan kedua ke atasnya mendakwa bahawa laporan tidak tepat berterusan bagi tempoh tiga tahun lagi.

Tuduhan ketiga bagi tindakan teruk pecah amanah, melibatkan skim yang mana Ghosn dikatakan telah cuba memindahkan kerugian pada kontrak tukaran asing kepada akaun Nissan.

Ia juga mendakwa dia telah menggunakan dana syarikat untuk membayar semula kenalannya dari Saudi untuk meletakkan sandaran bagi kontrak-kontrak.

Pihak pendakwa juga memfailkan dakwaan hari ini ke atas Nissan dan penolong Ghosn, Greg Kelly berhubung tambahan tiga tahun laporan pembayaran yang tidak tepat.

Dakwaan pecah amanah dianggap sebagai serius dan peguam Ghosn Selasa lalu mengakui bahawa anak guamnya tidak mungkin diizinkan untuk diikat jamin jika pihak pendakwa mengemukakan dakwaan rasmi. – AFP