Giat jalankan rondaan bersama PK

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Pasukan Polis Diraja Brunei terus aktif bekerjasama dengan ahli-ahli pengawasan kejiranan bukan sahaja dalam rondaan pencegahan jenayah malah aktiviti pendekatan.

Baru-baru ini, tujuh rondaan pencegahan jenayah telah dijalankan di beberapa buah kampung di seluruh negara yang melibatkan PK Kampung Sungai Liang, PK RPN Kampung Panaga, PK STKRJ Seria, PK Kampung Lumut I, PK Kampung Rataie, Perpindahan Rataie dan STKRJ, PK Kampung Bebuloh serta gabungan PK Kampung Rimba, Kampung Tungkadeh, Kampung STKRJ Rimba, Gadong dan Kampung Belimbing dengan rondaan diketuai oleh pegawai menguasa balai polis yang terlibat.

Taklimat ringkas tentang langkah-langkah keselamatan dan sedikit perkongsian statistik jenayah turut di-terangkan kepada ahli-ahli PK terlibat sebelum rondaan dijalankan.

Turut serta dalam salah satu rondaan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis selaku penghulu Mukim Kota Batu.

Sepanjang rondaan menggunakan kenderaan dan secara berjalan kaki tidak ada menjumpai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan yang mencurigakan dijumpai.

Anggota polis dan ahli-ahli PK membuat rondaan di salah satu lokasi.

Sementara itu, hubungan kejiranan dipererat melalui aktiviti pendekatan yang dikendalikan oleh Fokal Point Balai Polis Muara dengan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Inspektor Kanan (S/Insp) Saidin bin Mohamad Salleh ke kediaman pemangku ketua Kampung Serasa dan RPN Kampung Serasa dan kediaman pemangku ketua Kampung Kapok.

Objektif pendekatan adalah bagi membincangkan aktiviti-aktiviti PK yang akan diadakan dalam masa terdekat selain membangkitkan isu-isu hal ehwal di kampung masing-masing.

Anggota Balai Polis Berakas pula telah membuat pemantauan dan pendekatan ke kediaman pemangku ketua Kampung Kawasan 5 RPN Rimba Mukim Gadong A.

Manakala itu, Fokal Point Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan pula mengadakan pendekatan bersama pemangku ketua Kampung Perpindahan Mata-Mata Mukim Gadong B.
Di Daerah Belait pula, Fokal Point Balai Polis Labi dengan diketuai Penolong Pegawai Menguasa Balai, SM 2729 Gudin bin Sunggoh membuat pendekatan dan pemantauan ke rumah ketua Kampung Labi I, Kampung Labi II dan Rumah Panjang Mendaram Besar.

Ia juga diselajurkan dengan penyerahan borang keahlian PK dan membincangkan mengenai rondaan pencegahan jenayah yang akan diperluaskan dan dipertingkatkan lagi dengan penglibatan ahli-ahli PK yang telah sedia ada.