Giatkan sanitasi arked, taman permainan indoor

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Tahap Kesediaan Operasi 1 bagi arked dan taman permainan kanak-kanak dalaman (indoor) akan bermula pada 27 Julai ini berikutan pengurangan langkah-langkah pengawalan wabak COVID-19 Negara Brunei Darussalam.

Di bawah garis panduan bagi Tahap Kesediaan Operasi 1, arked dibenarkan beroperasi dengan mengehadkan kapasiti kepada 30 peratus daripada kadar kapasiti biasa pada satu-satu masa dan penggunaan arked dihadkan kepada maksimum sejam untuk seorang pada satu hari.

Arked hendaklah ditutup selama 30 minit setiap dua jam untuk kerja-kerja pembersihan dan harus melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi konsol permainan sebelum dan selepas waktu beroperasi.

Arked harus mengutamakan pembersihan dan disinfeksi bagi bahagian yang sering disentuh seperti kayu bedik (joystick), butang permainan dan papan kekunci serta alat yang boleh bergerak seperti bola jaring.

Sementara itu, bagi alat permainan yang tidak boleh dicuci, dibersihkan atau didisinfeksi, ia tidak boleh digunakan.

Tahap Kesediaan Operasi 1 bagi arked dan taman permainan kanak-kanak dalaman (indoor) kini dibenarkan beroperasi dengan mengehadkan kapasiti kepada 30 peratus bermula 27 Julai. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala itu, syarat-syarat khusus bagi taman permainan kanak-kanak dalaman dibenarkan beroperasi dengan mengehadkan kapasiti kepada 30 peratus daripada kadar kapasiti biasa pada satu-satu masa.

Penggunaan taman permainan kanak-kanak dalaman dihadkan kepada maksimum sejam untuk seorang pada satu hari dan taman permainan kanak-kanak dalaman hendaklah ditutup selama 30 minit setiap dua jam untuk kerja-kerja pembersihan.

Pihak taman permainan kanak-kanak dalaman juga harus melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi taman permainan dan alat-alat permainan sebelum dan selepas waktu beroperasi di mana alat permainan yang berbentuk stuffed toys, permainan yang menyerupai barang makanan, permainan yang boleh dimasukkan ke mulut dan bersentuhan dengan air liur seperti bola plastik kecil dan alat permainan yang tidak boleh dicuci, dibersihkan atau didisinfeksi tidak boleh digunakan.

Garis panduan itu seterusnya menyatakan bahawa syarat-syarat umum bagi pihak pengurusan adalah dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis masing-masing dan seterusnya mencetak kod QR itu dan dilekatkan di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pengunjung sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis.

Syarat itu adalah dikecualikan bagi arked atau taman permainan dalaman yang merupakan sebahagian daripada sebuah restoran yang mempunyai kod QR BruHealth sendiri.

Di samping itu, pihak pengurusan dikehendaki untuk memastikan langkah-langkah kebersihan dan penjarakan fizikal dilaksanakan sebagaimana arahan-arahan iaitu untuk membuat pemeriksaan suhu badan bagi para pengunjung di pintu-pintu masuk premis berkenaan, menyediakan kemudahan mencuci tangan atau hand sanitizers untuk kegunaan pengunjung, menggalakkan pengunjung dan kakitangan yang bertugas menggunakan penutup mulut dan hidung di mana penutup yang dibuat daripada kain boleh digunakan dengan syarat, ia dicuci setiap kali selepas dipakai.

Apabila telah kering, disinfeksi alat permainan dengan cara mengelapnya dengan kain yang direndam dengan bahan peluntur (seperti Clorox atau Dettol) yang telah dicairkan ke dalam satu bahagian peluntur dengan 49 bahagian air, kemudian biarkan kering atau bilas dengan air yang bersih.

Disinfeksi juga boleh dilakukan dengan mengelap permukaan alat permainan dengan menggunakan alkohol (70 peratus) impregnated wipe dan seterusnya dibiarkan sehingga kering.

Pengunjung dan kakitangan yang mempunyai tanda-tanda jangkitan atau mereka yang mempunyai kod BruHealth berwarna merah dinasihatkan untuk tidak mengunjungi arked atau taman permainan kanak-kanak dalaman sehingga telah sembuh.