Gidey lakar rekod dunia 10,000 meter

PARIS, 9 JUN – Letesenbet Gidey dari Etiopia memecahkan rekod dunia larian 10,000 meter wanita semalam, di trek yang sama di mana pelari Belanda, Sifan Hassan telah mencatat rekod hanya dua hari sebelumnya.

Gidey mencatat masa 29 minit 1.03 saat dalam pemilihan Olimpik di Hengelo, Belanda menyaksikan beliau sekarang memegang dua rekod dunia iaitu acara 5,000m dan 10,000m.

Dibantu dengan teknologi Wavelight yang mengejar pelari, beliau berjaya mencatat masa lebih pantas 1 minit 20.2 saat berbanding masa terbaiknya dalam acara berkenaan iaitu 30:21.23s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Doha pada 2019.

Gidey, 23, mencatat masa lebih daripada seminit mengatasi Tsigie Gebreselama dan menenggelamkan rekod Sifan dengan kelebihan lima saat. Ababel Yeshaneh mengekori Gidey dalam hampir keseluruhan perlumbaan tatkala mereka mengekori cahaya lampu biru di sekeliling trek.

Yeshaneh mula mengendurkan kelajuan namun Gidey meneruskan rentak cemerlang.

Pada pusingan terakhir, Gidey mula melakukan larian lebih pantas untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 29:01.03s.

“Saya menjangkakan untuk melakukan larian rekod dunia. Saya berminat memecahkan rekod dunia sekali lagi dan akan cuba mengatasi masa 29 minit,” kata Gidey.– AFP

Letesenbet Gidey semasa bertanding dalam acara 5,000m wanita mencipta rekod dunia baharu. Letesenbet Gidey dari Ethiopia memecahkan rekod dunia 10,000 meter wanita semalam, di percubaan Olimpik di Hengelo, Belanda. – AFP