Gigi ikan yu prasejarah ditemui

MELBOURNE, 9 Ogos – Satu set gigi yang luar biasa daripada ikan yu prasejarah dengan saiz dua kali lebih besar daripada ikan yu putih telah ditemui di pantai Australia oleh seorang penggemar amatur, kata ahli sains hari ini.

Philip Mullaly sedang berjalan-jalan di satu kawasan yang terkenal dengan fosil di Jan Juc, di Great Ocean Road yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Melbourne, apabila beliau membuat penemuan tersebut.

“Saya sedang berjalan di sepanjang pantai mencari fosil, berpaling dan ternampak kilauan dalam batu tongkol dan melihat satu perempat daripada gigi terdedah,” kata beliau.

Penggemar amatur Fossil, Philip Mullaly memegang gigi yu sepanjang 7 sentimeter semasa berada di Muzium Melbourne, kelmarin. – AFP

“Saya berasa amat teruja. Ia amat baik dan saya tahu ia merupakan satu penemuan penting yang perlu dikongsi bersama orang.”

Beliau memberitahu Muzium Victoria, dan Erich Fitzgerald, kurator kanan paleontologi vertebrat, mengesahkan gigi sepanjang tujuh sentimeter dari spesies pemangsa yang sudah pupus dikenali sebagai ikan yu bergigi rapat (Carcharocles angustidens).

Ikan yu itu, yang merayau-rayau di lautan Australia kira-kira 25 juta tahun lalu, memakan ikan paus dan penguin, boleh membesar lebih daripada sembilan meter panjang, hampir dua kali ganda panjang ikan yu putih yang ada pada hari ini. – AFP