Gigih diet demi lagu baharu

Penyanyi, Aina Abdul sanggup menahan lapar, berdiet dan melakukan senaman demi memperlihatkan penampilan meyakinkan untuk dua lagu baharunya.

Diet dan senaman yang dilakukan setiap hari membuahkan hasil apabila penyanyi yang popular menerusi lagu Sumpah itu dapat menurunkan berat badan kira-kira enam kilogram (kg) dalam tempoh yang singkat.

Melawan arus kebiasaan, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani akan melancarkan dua single, Maybe dan Kelip2 secara serentak pada 27 Ogos lalu.

Penggambaran video muzik dua lagu ciptaan Aina sepenuhnya itu disatukan dalam satu video dan penggambaran dilakukan sekitar Pantai Bagan Lalang dan Pulau Indah, Klang, baru-baru ini.

Menampilkan kelainan pada penampilan diri, gadis kelahiran Negeri Sembilan itu semakin berani dengan gaya dan fesyen. Menggunakan khidmat pasukan Glam, Nazlivingastyle, Sahir Sabri, Ahma Dani dan Zizi Hadid ia menampilkan sisi berbeza Aina.

“Diakui, saya lebih yakin menerokai fesyen selepas menurunkan berat badan. Jika ikutkan, saya mahu melakukan diet lebih ekstrim untuk menurunkan berat. Tetapi, memadai kehilangan 6kg dan saya boleh memakai pelbagai rekaan baju.

“Idea video muzik dan fesyen ini memang dibincangkan bersama. Malah, kami banyak melihat rujukan luar negara termasuk video muzik penyanyi K-pop.

“Saya juga menggabungkan dua lagu dalam satu video muzik. Untuk membezakan setiap lagu, kami mempersembahkan mainan piano secara interlud daripada Wong Slyvia,” katanya kepada BH Online.

Untuk bahagian video muzik lagu Kelip2, Aina berkata, dia juga menunjukkan kebolehannya menari. – Agensi

Aina Abdul kini sedang gigih berdiet dan melakukan senaman demi penampilan meyakinkan. – Agensi