Gigih hasilkan kraf tangan warisan dusun

TAMPARULI – Meski kini sudah bergelar warga emas, Longuin Gilan, 70, seorang wanita berasal dari Kampung Koliposuan dekat sini tetap gigih menghasilkan kraf tangan warisan  kaum Dusun bagi  memastikan khazanah itu tidak lenyap ditelan zaman.

Longuin yang menyimpan impian menjadi pengeluar kraf tangan sejak zaman kanak-kanak, kini mampu tersenyum setelah cita-citanya itu tercapai selepas berjaya mengharungi pelbagai cabaran.

Beliau yang turut menjadi tenaga pengajar kepada penduduk kampung terutama generasi muda di Koliposuan, Bundu Tohuri, Gaya Ratau dan Ratau Baru, juga berharap mendapat sokongan pihak berkaitan bagi pembinaan bengkel khas membuat kraf tangan di kampungnya.

“Saya mula serius menghasilkan kraf tangan tradisional sejak 60 tahun lalu, dengan hasil kerja tangan pertama berjaya dihasilkan tikar rotan atau lampit hasil bimbingan serta tunjuk ajar kedua orang tua saya.

“Sejak itu, saya terus berusaha mengeluarkan pelbagai kraf tangan tradisional dan hasilnya dipasarkan di sekitar Tamparuli, Tuaran, Ranau, Kota Belud dan Kota Kinabalu,” katanya kepada Bernama, di sini.

Pembuat kraf tangan Longuin Gilan menunjukkan hasil kerja tangannya dikenali sebagai wakid. – Bernama

Beliau mewarisi kemahiran membuat kraf tangan tradisional Dusun itu  daripada ibu bapanya, Gilan Lankanting dan Dumoi Tanggaris yang  sudah meninggal dunia.

Anak sulung daripada 11 beradik dan ibu kepada sembilan anak itu begitu minat menghasilkan kraf tangan tradisional sehingga sanggup beberapa kali mengikuti kursus berkaitan anjuran Yayasan Sabah bagi menambah pengetahuan.

“Saya memberi tumpuan dalam menghasilkan tikar rotan, memandangkan kraf tangan itu mendapat permintaan tinggi walaupun harga jualan RM160 hingga RM800 setiap satu mengikut saiz,” katanya.

Beliau berkata kraf tangan tradisional lain yang dihasilkan ialah wakid dijual RM3 hingga RM80 sebuah, balik atau bakul kecil (RM3 hingga RM12 sebuah) dan sirung atau topi (RM12 hingga RM40 sebuah).

“Bahan utama untuk membuat tikar iaitu rotan ditanam sendiri di atas tanah seluas 3.2 hektar di kampung (Koliposuan), memudahkan proses pe-ngeluaran kraf tangan berkenaan.

“Kini, saya berupaya menghasilkan tiga tikar rotan dan 50 bakul rotan sebulan. Saya tidak menunggu tempahan pelanggan, kerana hasil keluaran sentiasa mendapat permintaan tinggi penggemarnya,” katanya. – Bernama