Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Gigih usaha rahsia kejayaan pelajar SOAS

    Oleh Nurdiyanah R.

    Umum diketahui jalan menuju kejayaan bukan mudah. Untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya, pelbagai dugaan dan cabaran perlu ditempuhi.

    Tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa ada usaha untuk mendapatkannya. Cabaran itu umpama asam garam dalam hidup. Apa yang penting, doa, usaha, ikhtiar dan tawakal perlu dijadikan pegangan atau prinsip dalam jati diri seseorang insan tidak kira mereka yang mempelajari ilmu atau yang mengajarnya.

    Berkat usaha, sabar dan kerja keras dalam pembelajaran telah membawa kejayaan kepada Awang Ahmad Danial Khair bin Haji Baharin, selepas meraih Anugerah Akademik Terbaik dalam Class of 2022 Academic Awards Graduation bagi Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (Maktab SOAS) di Auditorium, maktab tersebut, baru-baru ini.

    Berkesempatan ditemui penulis, Awang Ahmad Danial yang sebelumnya berjaya memperoleh keputusan 8 O aliran subjek sains dalam Peperiksaan BC GCE O Level bagi tahun lepas itu berkongsi salah satu tip yang diterapkannya dalam pembelajaran sehari-hari adalah sentiasa melakukan latihan dalam pembelajaran yang sukar bagi setiap subjek.

    “Sebagai seorang pelajar, kita jangan sesekali mengelak untuk berusaha mencari jalan meningkatkan kefahaman ketika kita menghadapi topik pembelajaran yang sukar atau sesuatu yang kurang kita sukai. Semua ini begitu penting diamalkan kerana ia mampu mengimbangi kefahaman secara menyeluruh dalam subjek-subjek yang kita pelajari,” ujarnya.

    Gambar ramai majlis Class of 2022 Academic Awards Graduation di Auditorium, Maktab SOAS, baru-baru ini. – Gambar serahan Guru Maktab SOAS, Awang Fahmi bin Haji Muhaimin

    Awang Ahmad Danial bergambar semasa majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Auditorium, Maktab SOAS.
    Awang Muhamad Naqib Danial semasa ditemui media.
    Antara ibu bapa dan pelajar yang hadir pada majlis tersebut.

    Beliau yang kini melanjutkan pendidikannya di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dengan memilih tiga subjek utama iaitu Matematik, Biologi dan Fizik turut berharap dengan penerimaan anugerah sedemikian, ia akan menjadi pencetus motivasi untuk meneruskan perjuangan dalam bidang pembelajaran dan kemahiran serta pengalaman sebanyak mungkin pada peringkat seterusnya.

    Sementara itu, Awang Muhamad Naqib Danial bin Haji Sijon, juga seorang penerima Anugerah Akademik Terbaik semasa berlangsungnya majlis berkenaan, turut meluahkan kesyukuran yang tidak terhingga atas pencapaiannya dalam meraih keputusan 8 O dalam Peperiksaan BC GCE O Level bagi tahun 2022 lalu. Beliau sentiasa meyakinkan dirinya untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

    “Jika orang lain boleh, kenapa saya tidak. Itu yang saya lakukan sepanjang belajar di Maktab SOAS. Tiada rahsia untuk berjaya selain belajar secara konsisten, jangan mudah putus asa kerana kejayaan tidak akan datang dengan sendiri,” jelasnya yang kini melanjutkan pendidikan di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli).

    Dalam pada itu, Awang Muhamad Naqib yang bercita-cita menjadi seorang juruterbang ataupun jurutera mengongsikan semasa mengimbas detik-detik menjelang peperiksaan, salah satu usaha yang dilaksanakan bersama rakan-rakan seperjuangan adalah dengan membuat ulang kaji beramai-ramai kerana dari situ mereka mampu meningkatkan lagi daya ingatan tentang permasalahan yang dihadapi di samping sentiasa mendapatkan tunjuk ajar daripada guru-guru.

    Pada majlis itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada 84 orang pelajar secara keseluruhannya itu ialah Pegawai Pelajaran Kanan, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP Centre), Kementerian Pendidikan, Awang Misli bin Moksin.

    Majlis yang bermula dengan pembacaan surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran itu telah menyaksikan penyampaian hadiah bagi empat kategori khusus iaitu Anugerah Akademik Terbaik; Anugerah Pencapaian Akademik Terbaik Tahun 11 dan Tahun 8; Sijil BTEC International Level 2 Extended in Information Technology; dan Sijil Pra-Vokasional.

    Sehubungan itu, Pemangku Timbalan Pengetua (Akademik), Awang Mohd Zulhisham Shah bin Haji Napiah dalam ucapannya pada majlis berkenaan menjelaskan bahawa banyak program, aktiviti dan teknik pengajaran telah dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian sekolah pada tahun 2022.

    Program dan aktiviti termasuk kelas-kelas tambahan; sesi VIP bersama ibu bapa dan penjaga penuntut; Road to Brilliance; inisiatif pendedahan pelajar kepada soalan-soalan O Level atau IGCSE dan SPE; Bengkel Teknik Menjawab Soalan; Mass Intensive Revision; Reading Program; program-program motivasi oleh Kaunselor Maktab; Target Setting; Program Principal-Counsellor-Career (PCC); program-program keagamaan; program yang melibatkan agensi-agensi luar; Blended Learning; serta Pengajaran dan Pembelajaran Dialogik.

    Melalui program dan usaha gigih pihak-pihak yang terlibat telah membuahkan hasil dengan 69 penuntut SOAS telah mendapat keputusan lima kredit O Level atau IGCSE ke atas; tiga penuntut dari Tahun 8 mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Kemajuan Pelajar (SPE); sembilan penuntut berjaya menamatkan BTEC Level 2 Extended in Information Technology dan tiga penuntut Pra Vokasional telah menamatkan program lima tahun pra vokasional.

    Beliau turut melahirkan harapan agar kecemerlangan tersebut tidak berakhir setakat itu dengan menekankan agar golongan pelajar akan terus menjadi bangsa yang dinamik, berpendidikan, berjaya, berguna, berdisiplin dan sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran abad ke-21 serta dapat menyumbang kepada kemajuan dan ekonomi negara bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Turut hadir ialah Pemangku Pengetua SOAS, Awang Mohamed Santra bin Haji Bolhasan; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayang Krestina binti Haji Daud; para ibu bapa atau penjaga pelajar yang dirai.

    Adapun majlis berkenaan dilaksanakan bertujuan memberikan dorongan dan motivasi kepada para pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan program-program yang berkaitan. Dengan penganugerahan tersebut, ia bukan sahaja memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang, tetapi juga kepada mereka yang menunjukkan peningkatan atau kemajuan dalam pencapaian mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...