Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Seramai 21 orang menyertai Bengkel Pengucapan Umum yang diadakan untuk memberi bimbingan asas bagi menjadi individu yang berani tampil bercakap di hadapan khalayak ramai.
Bengkel empat hari bermula hari ini yang diadakan di Bilik Mau’izah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) itu merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh PDI menerusi Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah Islamiah dan dipengerusikan oleh Pegawai Perkembangan Agama, PDI, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapaz.
Para peserta terdiri daripada kakitangan PDI dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan.
Antara pengisian bengkel adalah Panduan Asas Pengucapan Umum; Sesi Perkongsian Pengalaman Bersama Penceramah PDI: Teknik Ceramah; Teknik Forum dan Praktikal.


Bengkel antara lain bertujuan untuk memberi panduan mengenai teknik ceramah atau forum dengan betul untuk dipraktikkan oleh bakal penceramah, pengkursus dan lain-lain.
Ia juga merupakan salah satu usaha PDI untuk melahirkan penceramah tempatan yang berkebolehan sekali gus menjadi pelapis daie pada masa akan datang dan memberi pendedahan serta pengalaman kepada peserta untuk menjadi seorang penceramah, pengkursus atau yang terlibat dalam rancangan yang disiarkan di radio mahupun televisyen.
Kegiatan seperti ini diharap akan dapat melahirkan penceramah-penceramah yang berkualiti dan berpotensi serta dapat mengaplikasikan teknik penyampaian ceramah yang lebih berkesan kepada masyarakat.

































