Giliran belalang juta serang China

GUANGXI, 21 FEB – Kawasan selatan China mungkin mengalami nasib seperti Afrika apabila diserang kumpulan belalang juta, yang dikhuatiri menimbulkan krisis bekalan makanan pada musim panas ini.

Menurut penyelidik Institut Perlindungan Tumbuhan Akademi Sains Pertanian China, Zhang Zehua, serangan belalang itu berkemungkinan besar menjejaskan wilayah Yunnan dan Sichuan, serta wilayah autonomi Guangxi Zhuang.

“Bagaimanapun, jika serangan belalang ini berterusan, ada kemungkinan ia memasuki China pada Jun atau Julai dengan peningkatan ketara,” katanya.

Tambah beliau, wilayah autonomi Tibet serta sempadan negara Pakistan, India dan Nepal adalah kawasan pembiakan belalang juta.

Namun, Zehua percaya belalang juta bukan ancaman kepada pengeluaran pertanian di China kerana negara itu mempunyai sistem pencegahan.

Januari lalu, kumpulan belalang itu yang dikesan di Djibouti dan Eritrea dan kini merebak ke Tanzania serta Uganda, dilaporkan mengancam keselamatan makanan selain tempat tinggal berjuta-juta orang. Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata serangan terburuk sejak beberapa dekad lalu memusnahkan ribuan hektar ladang. – Agensi