Giliran Liverpool uji Arsenal

LONDON, 19 NOV – Liverpool akan memberikan ujian sebenar kepada Arsenal apabila pasukan yang mengejar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menanti kehadiran pasukan sedang meningkat kendalian Mikel Arteta, pada Ahad ini.

Dalam masa sama, rehat saingan antarabangsa menawarkan sedikit kelegaan buat Ole Gunnar Solskjaer tetapi pengurus Manchester United yang bergelut itu akan membawa pasukan ke Watford.

Legenda Liverpool, Steven Gerrard kembali ke EPL dan akan mengetuai perlawanan pertamanya sebagai bos Aston Villa menentang Brighton.

Sejak tewas 0-5 kepada Manchester City pada Ogos lalu, Arsenal secara mengejut kembali sebagai pasukan dengan prestasi terbaik dalam EPL.

Kekalahan itu mencetuskan gesaan agar bos The Gunners, Mikel Arteta dipecat namun kritikan itu dibalas dengan lapan perlawanan tanpa kalah dalam liga.

Aksi Emile Smith Rowe bergelut mendapatkan bola dengan penjaga gol Elia Benedettini dan Dante Rossi semasa perlawanan di antara San Marino dan England di Stadium Olimpik di Serravalle, San Marino pada 15 November 2021. – AP

Malah pendahulu liga, Chelsea gagal memungut mata dalam tempoh berkenaan sama seperti Arsenal yang menang enam kali dan seri dua kali untuk menduduki tempat kelima liga.

Dibantu kecemerlangan pemain tengah England, Emile Smith Rowe dan Arteta yang mengubah kerapuhan pertahanan, Arsenal mengimpikan untuk kembali ke Liga Juara-Juara menerusi kedudukan empat teratas.

Kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang kembali mendapatkan gol dan ‘mood’ pemain itu menambah keyakinan pasukan.

“Saya kapten paling tenang dalam liga, mungkin di dunia!” kata Aubameyang.

“Sebenarnya saya cuba menjadi contoh. Saya rasa ia perkara paling penting jika menjadi kapten.”

Liverpool akan memberikan ancaman serius terhadap kebangkitan Arsenal dengan The Reds terdesak untuk bangkit selepas kekalahan mengejut 3-2 di tangan West Ham sebelum rehat saingan antarabangsa.

Empat mata di belakang Chelsea dan dua di depan Arsenal, pasukan tangga keempat Liverpool tidak boleh keciciran mata lagi selepas dua perlawanan tanpa menang.

Ole Gunnar Solskjaer pula terdesak untuk menyelamatkan tugasnya di United serta mengembalikan kempen yang sukar ke landasan betul. – AFP