Giliran Nadal tumbang

LONDON, 12 NOV – Rafael Nadal enggan mencari alasan selepas ditundukkan juara bertahan Alexander Zverev pada Pusingan Akhir ATP awal pagi tadi ketika Stefanos Tsitsipas memulakan kempennya penuh bergaya.

Pilihan utama dari Sepanyol itu, yang tidak pernah menjuarai kejohanan penamat musim, hadir di Arena O2, London kurang cergas kerana cedera dan jauh daripada persembahan terbaiknya apabila dia kecundang 2-6, 4-6.

Pada perlawanan terdahulu Kumpulan Andre Agassi, pilihan keenam Tsitsipas mengalahkan Daniil Medvedev 7-6 (7/5), 6-4, mengakui hubungan dingin antara mereka menyebabkan tugasnya lebih sukar.

Nadal bertarung dengan Novak Djokovic untuk menamatkan tahun sebagai pemain nombor satu namun tidak begitu cergas ketika latihan minggu lalu kerana kekejangan otot perut yang memaksanya menarik diri pada separuh akhir Masters Paris.

“Isu fizikal tidak sepatutnya dijadikan alasan,” kata juara 19 gelaran Grand Slam dari Sepanyol itu, yang menyatakan dia tidak berasa sakit susulan kecederaan perut itu. “Hanya satu-satunya alasan saya tidak cukup bagus malam ini.

“Apa yang penting saya perlu bermain lebih bagus dalam dua hari. Itu lebih penting,” katanya. “Kami sedar ia pasti sukar kerana tempoh masa sejak kecederaan itu hingga hari ini terlalu singkat, tapi kami berada di sini mencuba.”

Nadal kini berdepan tugas getir untuk layak ke separuh akhir dan dia masih perlu berdepan Tsitsipas dan Medvedev. Bintang Sepanyol itu layak ke kejohanan penamat musim buat tahun ke-15 berturut-turut namun hanya melakukan sembilan penampilan kerana kecederaan.

Manakala Zverev, salah seorang pemain di bawah umur 24 tahun pada acara itu di London, juga merebut peluang untuk melakukan aksi terbaiknya pada musim ini.

“Ini merupakan antara perlawanan yang bermakna buat saya, kembali beraksi di sini selepas menang di sini merupakan pencapaian terbaik dalam karier saya dan ia satu pencapaian yang sangat baik dan sebagai hadiah istimewa, untuk saya,” katanya sambil menambah ia sangat gembira dengan pencapaian itu. – AFP

Aksi Nadal ketika mengembalikan bola ketika menentang Alexander Zverev pada perlawanan mereka di O2 Arena, London, awal kelmarin. – AFP