PARIS – Pereka fesyen Itali Giorgia Armani memperkenalkan koleksi busana anggun haute couture pada Minggu Fesyen Paris yang menyerlahkan gaya Hollywood dan corak ropol dengan sut seluar segak.
Di hadapan penonton terhad, peragawati menggayakan busana biru dan perak berkilauan musim bunga/panas, berpasangan dengan jaket kain baldu.
Juga diperagakan adalah gaun-gaun berlapis dalam fabrik warna pastel diikuti dengan jaket warna merah senduduk selain gaun majlis makan malam dihiasi dengan labuci.
Armani, 86, juga memperkenalkan mantel tanpa lengan yang diperbuat daripada mutiara digayakan bersama blaus merah muda, sut seluar warna lembut kelabu dan set pakaian labuci hijau berkilat.
Koleksi kali ini dipenuhi dengan gaya santai dalam warna biru tua, putih, kelabu dan hijau.
Model-model juga memperagakan blaus dikait bercorak bunga-bunga, seluar atau jaket agak longgar, sementara seluar pendek Bermuda, ada di antaranya berwarna biru nila, kelabu dan sulaman merah, dipasangkan dengan baju ves atau jaket.
“Koleksi baharu saya mencerminkan keadaan selepas pandemik.
“Baju rekaan saya adalah amat klasik, tetapi juga bersifat tidak formal dan santai,” beritahu Armani kepada wartawan selepas pertunjukan fesyen.
“Dan sudah tentunya, saya mahu koleksi saya mempunyai ciri-ciri keanggunan tertentu,” tambahnya. – AFP/Agensi