MILAN, 8 NOV – Gol Olivier Giroud telah membantu AC Milan kembali ke dalam saingan Liga Juara-Juara selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi tadi.
Penyerang Perancis itu menjaringkan gol menerusi tandukan khasnya empat minit selepas rehat dalam aksi hebat di San Siro, yang menghidupkan semula peluang Milan untuk mara ke pusingan 16 terakhir dan memulihkan prestasi buruk baru-baru ini.
Pasukan yang diketuai oleh Stefano Pioli memulakan hari di peringkat tercorot Kumpulan F tetapi kini berada dalam saingan peringkat kalah mati, untuk tempat kelayakan ketiga dengan lima mata dan hanya berselisih satu mata dengan PSG yang menduduki tempat kelayakan kedua.
Kemenangan awal pagi tadi adalah bagi menebus semula kekalahan 3-0 di Paris dua minggu lalu dan ianya turut menyaksikan Milan menjaringkan gol pertama mereka dalam saingan ini musim ini.
Rafael Leao yang mempamerkan aksi yang cukup mengagumkan menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit ke-12 selepas bekas pemain pertahanan Inter Milan, Milan Skriniar, membantu PSG menjaringkan gol pendahuluan.
Gol kemenangan Giroud adalah gol ketujuhnya musim ini dalam semua pertandingan dan terdapat elemen Perancis yang signifikan dalam kejayaan tersebut, di mana kerjasama antara kedua-dua pemain Perancis telah memberikan kesan positif kepada pasukan AC Milan untuk menundukkan PSG yang merupakan juara Ligue 1. Theo Hernandez membekalkan hantaran lintang tepat yang dijaringkan oleh rakan senegaranya. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/11/P22-C-AFP_09112023.jpg)