PARIS, 8 OKT – Juara dunia, Perancis membelasah Ukraine 7-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Stade de France semalam dengan pemain muda Eduardo Camavinga dan pemain veteran, Olivier Giroud mempamerkan aksi hebat.
Camavinga yang berusia 17 tahun mencipta nama setelah menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol untuk Perancis dalam lebih dari satu abad untuk jaringan pembukaan di minit kesembilan.
Didier Deschamps melantik Giroud sebagai ketua pasukan untuk malam itu dan dia berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dengan rembatan melencong pada minit ke-24 dan tandukan kemas sepuluh minit kemudian.
Jaringan sendiri oleh Vitaliy Mykolenko dari Ukraine menjadikannya 4-0 pada separuh masa, ketika pasukan Andrey Shevchenko kelihatan berani tetapi tidak berjaya menemukan peluang jaringan.
Pada minit ke-82 bintang PSG, Kylian Mbappe berjaya menjaring gol selepas keluar dari bangku simpanan.
Corentin Tolisso dari Bayern Munich dan penyerang Barcelona, Antoine Griezmann juga masing-masing berjaya menemukan gol dengan asakan yang mengagumkan.
Dua gol tersebut menjadikan Giroud sebagai penjaring kedua tertinggi meskipun dia sering diejek, ketika dia melepasi rekod jaringan terbanyak Michel Platini.
“Ya, ada dua lagi di dalam tangan dan sudah cukup penting,” kata Deschamps, yang telah mempertahankan Giroud selama bertahun-tahun.
Dia kini mempunyai 42 gol, hanya berbeza sembilan daripada Thierry Henry dengan 51 gol.
“Saya akan teruskan dan melihat sejauh mana,” kata Giroud, 34.
Bintang muda Rennes, Camavinga yang akan menyambut ulang tahun ke-18 tahun pada 10 November ini, merupakan penjaring termuda Perancis sejak Maurice Gastiger yang berusia 17 tahun pada Mac 1914 ketika menjaringkan gol seri 2-2 menentang Switzerland.
Perlawanan di Stadium Stade de France, dihadiri 1,000 orang peminat berikutan sekatan virus. – AFP