Giroud: Gol terbaik saya

LONDON, 2 Jan – Olivier Giroud (gambar) berkata dia ‘sangat bernasib baik’ apabila menghasilkan jaringan voli ‘kala jengking’ dalam kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Crystal Palace yang dilabelkannya sebagai jaringan terbaiknya sepanjang hidup.

Giroud telah membuka jaringan di Stadium Emirates semalam dengan voli ‘kala jengking’ yang berjaya menewaskan penjaga gol Palace, Wayne Hennessey.

Pemain berusia 30 tahun itu seolah-olah terkejut seperti yang dirasakan oleh 60,000 orang penyokong apabila jaringan itu dibuat, dan bercakap selepas perlawanan, dia mengakui bahawa ia adalah gol yang tidak pernah dibayangkan mampu dihasilkannya.

“Saya mempunyai nasib yang tersangat baik,” kata Giroud.

“Tidak semua pun yang saya lakukan sebelum ini seperti itu.

“Saya sangat bernasib baik, tetapi itu adalah satu-satunya yang saya dapat lakukan, bola di belakang saya dan satu hanya cuba menendangnya dengan tumit belakang.”

Jaringan hebat Giroud itu datang hanya selepas beberapa hari pemain tengah Manchester United, Henrikh Mkhitaryan menghasilkan jaringan yang serupa ke atas Sunderland dan penyerang Perancis itu menambah: “Mungkin gol itu memberikan saya inspirasi. Ia adalah satu-satunya yang anda boleh lakukan dalam kedudukan itu.

“Ia bagus untuk saya dan pasukan kerana kami memulakan tahun baru dengan kemenangan.”

Bos Gunners, Arsene Wenger telah menyaksikan banyak gol-gol hebat daripada beberapa pemainnya selama beberapa tahun ini, tetapi dia tidak menjangka Giroud akan menyertai pemain-pemain seperti Thierry Henry, Dennis Bergkamp dan Robin van Persie dalam mendapat penghormatan gol yang hebat.

“Tindak balas badannya mengejutkan semua orang yang mengenali bola sepak dan itulah yang menjadikan gol itu hebat,” kata Wenger.

“Saya telah dimanjakan selama beberapa tahun dengan kualiti pemain yang hebat kendalian saya, tetapi ia akan menjadi antara gol yang dingati sebagai gol menakjubkan.

“Olly sangat bagus di depan gol, tetapi saya tidak pernah menyaksikan gol seperti ini daripadanya.” – AFP