Giroud wira Blues

PARIS, 9 Nov – Chelsea menempah tempat ke peringkat kalah mati Liga Europa ketika jaringan pertama Olivier Giroud dalam kempen tersebut memastikan pasukan kendalian Maurizio Sarri menang 1-0 ke atas BATE Borisov.

Giroud menamatkan kemarau jaringan dalam 11 perlawanan pada musim ini dengan memberikan Chelsea satu-satunya gol pada minit ke-53, dan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu bertahan biarpun BATE menggegarkan palang mereka sebanyak tiga kali.

“Saya berharap agar menjaringkan gol kerana saya kembali lewat dari Piala Dunia dan saya mungkin kekurangan sedikit efisien tetapi anda selalu perlu bekerja keras dan mengekalkan kepercayaan dan itulah yang berlaku malam ini,” kata pemain dari Perancis itu kepada BT Sport.

Pasukan dari London itu mendahului enam mata dari pasukan Vidi dari Hungary dan mengungguli Kumpulan L dan masih belum tewas dalam 17 perlawanan sejak tewas dalam saingan Perisai Komuniti kepada Manchester City pada Ogos lalu.

BATE bermula dengan kukuh dan membuat serangan lebih awal ketika bekas pemain tengah Arsenal, Alexander Hleb berganding bersama Dmitri Baga bagi rembatan jarak jauh yang telah menggegarkan palang Chelsea.

Pasukan pelawat mula menguasai permainan, tetapi biarpun menguasai lebih daripada 70 peratus bola pada separuh masa pertama, mereka gagal untuk melakukan rembatan tepat ke arah gawang BATE.

Bagaimanapun, pasukan kendalian Sarri meningkat permainan selepas rehat dan Giroud, yang juga menjaringkan dua gol bagi Arsenal menentang BATE dalam Liga Europa musim lalu, memecahkan kebuntuan dengan menanduk kencang ke gawang lawan menerusi hantaran lintang Emerson.

Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian, ketika mereka menggegarkan palang buat kali kedua menerusi tendangan Nikolai Signevich. Jurulatih BATE, Alyaksey Baha, abang kepada pemain tengah, Dmitri, kelihatan dalam keadaan kecewa selepas Aleksey Rios gagal menyempurnakan peluang keemasan untuk mengikat Chelsea. – AFP

Giroud meraikan jaringannya selepas menanduk masuk hantaran Emerson dalam perlawanan Liga Eropah antara Chelsea dan BATE Borisov, awal pagi kelmarin. – AFP