TUMPAT, 17 JAN – Seramai 448 kanak-kanak dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) diserahkan semula kepada keluarga masing-masing setakat ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata lima kanak-kanak ditempatkan di bawah penjagaan Orang Yang Layak dan Sesuai manakala 107 lagi ditempatkan di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat berikutan perintah tetap serta interim daripada mahkamah.
“Ada ibu bapa yang mahu menuntut anak mereka tetapi mungkin ada pihak menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian kerana bimbang tindakan kerajaan. Saya rasa itu tidak adil.
“Sebelum ini, kami tidak menyerahkan kanak-kanak itu kerana masih menunggu laporan polis dan proses perundangan namun setelah proses itu selesai, kanak-kanak berkenaan perlu dikembalikan kepada ibu bapa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Integrasi Kasih MADANI sempena penyerahan projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Pasir Pekan Tengah hari ini. – Bernama
