Gladbach malukan Bayern di Piala Jerman

BERLIN, 28 OKT – Bayern Munich mengalami kekalahan terbesar dalam saingan Piala Jerman selepas pasukan yang dipenuhi bintang itu tewas 0-5 di Borussia Moenchengladbach, awal semalam.

“Ia amat mengejutkan. Kami seperti tidak berada di sana,” kata pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic kepada ARD.

“Kami membiarkan lawan menguasai setiap situasi, ia merupakan satu kegagalan kolektif.”

Barisan utama Bayern melepaskan gol pertama selepas 71 saat dan ketinggalan 0-3 apabila 21 minit permainan ketika Gladbach melakukan permulaan cemerlang.

Selepas gol awal oleh Kouadio Kone, pemain pertahanan Algeria Ramy Bensebaini menjaringkan dua lagi gol menjadikannya 3-0 pada separuh masa.

Ia adalah kali pertama dalam tempoh 27 tahun Bayern melepaskan begitu banyak gol awal dalam mana-mana pertandingan.

Kekalahan terbesar Bayern dalam saingan Piala Jerman sebelum ini ketika tewas 1-5 pada suku akhir di Cologne pada 1972.

“Dari semasa ke semasa, anda mengimpikan sesuatu seperti ini tetapi anda tidak percaya ia akan menjadi realiti,” kata pengarah sukan Gladbach, Max Eberl.

“Ini adalah persembahan yang menakjubkan.” – AFP

Pemain tengah Moenchengladbach Kouadio Kone (kiri) meraikan gol pembukaan bersama rakan sepasukan Ramy Bensebaini semasa perlawanan Piala Jerman di antara Borussia Moenchengladbach dan Bayern Munich pada 27 Oktober. – AFP