Glasier Alp dilitupi salji merah muda

PASSO GAVIA, ITALI, 5 JULAI – Saintis di Itali sedang menyiasat kemunculan penuh bermisteri ais glasier warna me-rah muda di Alp, berpunca daripada alga yang mempercepatkan kesan perubahan iklim.

Timbulnya perdebatan mengenai di mana datangnya alga, namun Biagio Di Mauro dari Majlis Penyelidikan Nasional Itali berkata salji merah muda yang diperhatikan di beberapa kawasan glasier Presena mungkin berpunca daripada tumbuhan sama yang ditemui di Greenland.

“Alga itu tidak berbahaya, ia merupakan fenomena yang berlaku semasa musim bunga dan panas di tengah latitud tetapi juga di kutub,” kata Di Mauro, yang mengkaji alga sebelum ini di glasier Morteratsch di Switzerland.

Tumbuhan itu, dikenali sebagai Ancylonema nordenskioeldiil wujud di Zon Gelap Greenland, di mana ais juga sedang cair.

Biasanya ais memantulkan lebih 80 peratus daripada radiasi mata hari kembali ke atmosfera, tetapi apabila alga muncul, mereka menggelapkan ais supaya ia menyerap bahang cahaya mata hari dan cair dengan lebih cepat.

Biagio Di Mauro mengambil sampel salji berwarna merah muda di atas glasier Presena berhampiran Pellizzano pada 4 Julai 2020. – AFP

Semakin banyak alga muncul tatkala ais cair dengan lebih pesat, memberikan mereka air dan udara dan menambah lagi warna merah kepada ais putih di Passo Gavia, pada altitud 2,618 meter.

“Segala yang menggelapkan salji menyebabkannya cair disebabkan ia mempercepat penyerapan radiasi,” kata Di Mauro.

“Kami berusaha menjelaskan kesan fenomena lain selain manusia mengenai pemanasan berlebihan Bumi,” kata Di Mauro, mendapati kehadiran pengembara dan peluncur ski juga memberikan kesan ke atas alga.

Pelancong di glasier menyatakan rasa kesal tentang impak perubahan iklim.

“Pemanasan berlebihan planet menimbulkan masalah, perkara terakhir yang kami perlukan adalah alga,” kata pelancong Marta Durante.

“Tahun 2020 ialah tahun istimewa: peristiwa teruk telah berlaku,” kata beliau. “Pada pendapat saya, fenomena atmosfera semakin teruk sekarang. Perubahan iklim semakin ketara.” – AFP