Glasier Papua bakal lenyap: kajian

JAKARTA, 13 DIS – Glasier yang tidak begitu dikenali di Indonesia sedang cair dengan amat cepat sehingga ia boleh lenyap dalam satu dekad, kata satu kajian baharu, menekankan ancaman yang ditimbulkan oleh perubahan iklim terhadap lembar ais di negara tropika.

Tatkala sidang kemuncak CAP 25 berakhir di Madrid, negara-negara sedang bergelut untuk memuktamadkan peraturan untuk perjanjian iklim Paris 2015, yang bertujuan mengehad kenaikan suhu global.

Beribu-ribu kilometer jauhnya, glasier di banjaran gunung di rantau Papua, Indonesia, dan segelintir kawasan lain di Afrika dan Andes Peru, menunjukkan tanda-tanda awal mengenai apa yang bakal berlaku sekiranya mereka gagal.

“Disebabkan penaikan agak rendah glasier Papua, mereka akan cair terlebih dahulu,” kata Lonnie Thompson, salah seorang penulis kajian yang diterbitkan dalam Prosiding Akademi Sains Nasional pada minggu ini.

“Mereka merupakan petanda tentang mala petaka yang bakal berlaku.”

Sementara mereka biasanya dikaitkan dengan negara bercuaca lebih sejuk, glasier di Papua, rantau Indonesia di barat pulau New Guinea, merupakan penanda utama kesan kenaikan suhu global, kata penyelidik.

“Glasier tropika kebanyakannya lebih kecil dan dengan itu masa respons terhadap variasi dalam perubahan iklim adalah lebih cepat berbanding glasier dan lembar air yang lebih besar,” kata ahli glasier Indonesia Donaldi Permana, juga penulis kajian.

Ramalan awal mencadangkan glasier Papua telah mengecut sebanyak 85 peratus dalam beberapa dekad lalu.

“Situasi telah mencecah tahap membimbangkan disebabkan pembentukan ais tidak berlaku lagi, hanya resesi glasier,” kata Permana.

“Glasier menghadapi risiko lenyap dalam satu dekad atau kurang,” tambah beliau. “Mengurangkan pengeluaran gas hijau dan menanam lebih banyak pokok mungkin mengurangkan kemerosotan ais di Papua,” kata Pernama.

“Bagaimanapun, kami percaya adalah amat sukar untuk menghalang mereka daripada cair.” – AFP