GLC Sabah dinasihat jangan tamat khidmat, potong gaji kakitangan

KOTA KINABALU, 22 APRIL – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah dinasihatkan supaya tidak menghentikan atau menamatkan khidmat ataupun memotong gaji kakitangan masing-masing, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata ini bagi memastikan kakitangan terbabit masih memperoleh gaji bagi menampung kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mencabar ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri akan mengambil beberapa langkah proaktif dalam membantu syarikat-syarikat GLC bukan sahaja bagi memulihkan pengurusan kewangan tetapi juga pentadbiran sekali gus memastikan pekerja dikekalkan.

“Syarikat-syarikat GLC juga diminta mengambil beberapa langkah termasuk memberi input kepada Kementerian Kewangan (Sabah) tentang apa sebenarnya keperluan mereka dalam usaha meringankan beban operasi selepas PKP berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bantuan kewangan bagi Tabung COVID-19 Sabah daripada syarikat GLC, syarikat swasta, dewan perniagaan dan badan-badan berkanun dalam satu majlis ringkas di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini. – Bernama