Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Gleneagles JPMC sambut ulang tahun ke-20

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Gleneagles JPMC hari ini telah mengadakan majlis makan malam korporat ulang tahunnya yang ke-20 di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di ibu negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, selaku pengerusi Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC.

    Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa semasa pembukaannya pada 2002, Gleneagles JPMC mengambil kurang 50 kakitangan, termasuk dua orang pakar kardiologi, seorang pakar bedah jantung dan seorang pakar bius.

    “Pada hari ini, Gleneagles JPMC telah mengambil lebih 200 kakitangan, termasuk tiga orang pakar kardiologi intervensi, seorang pakar kardiologi bukan intervensi, dua orang pakar bedah jantung, dua orang pakar bius jantung, seorang interventional fellow, seorang surgical fellow dan dua orang pegawai perubatan, dengan lebih 100 jururawat berdaftar dan profesional kesihatan bersekutu.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bersama ahli-ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Gleneagles JPMC melancarkan Sambutan
    Ulang Tahun ke-20 Gleneagles JPMC, malam tadi.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan anugerah perkhidmatan lama kepada salah seorang penerima.

    “Kakitangan berasal dari Brunei, Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia, Pakistan, India, Argentina dan UK,” kong-sinya lagi.

    Dr Peter Tay turut mengongsikan bahawa pada tahun 2021, Gleneagles JPMC telah melakukan lebih 1,200 angiogram diagnostik, lebih 800 percutaneous interventions, lebih 100 prosedur elektrofisiologi dan lebih 160 pembedahan jantung.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew pula berkata, sejak penubuhannya, sumbangan Gleneagles JPMC kepada sektor penjagaan kesihatan negara adalah tidak ternilai, menyediakan rawatan dan perkhidmatan pakar dalam penjagaan jantung kepada penduduk Negara Brunei Darussalam.

    “Melalui pelaburan berterusan dalam tenaga manusia dan teknologi, kami amat berbesar hati untuk dapat merealisasikan aspirasi ini dan mengiktiraf Gleneagles JPMC sebagai salah satu pusat jantung yang mantap di rantau ini, menawarkan perkhidmatan kelas terkemuka serta kemudahan yang setanding dengan institusi terkenal lain.

    “Satu pencapaian khusus adalah dianugerahkan akreditasi Gold Seal JCI pada 2020,” kata Yang Berhormat Dato.

    Menurut beliau, kepercayaan yang telah dibina bersama pesakit sebagai rakan pilihan pesakit dalam perjalanan ke arah kehidupan yang lebih baik dan sihat adalah salah satu sebab utama kejayaan mereka.

    “Dengan kepercayaan ini juga kami menjunjung komitmen untuk terus meningkatkan fokus kami dalam kualiti klinikal, keselamatan pesakit dan kecemerlangan perkhidmatan.

    “Saya percaya dengan komitmen ini, Gleneagles JPMC akan terus menjadi pemacu utama dalam usaha negara untuk menangani kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyakit tidak berjangkit, terutamanya penyakit kardiovaskular,” tambah beliau.

    Selepas ucapan daripada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Berhad, Singapura, Dr Kelvin Loh ChiKeon, acara diteruskan dengan pelancaran sambutan ulang tahun ke-20 oleh ahli-ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Gleneagles JPMC dengan menekan punat mekanisme sebagai tanda pelancaran.

    Bagi menghargai mereka yang telah lama berkhidmat di bawah Gleneagles JPMC, anugerah perkhidmatan lama disampaikan oleh pengerusi Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC kepada empat orang penerima.

    Antara penerima tersebut ialah Pengurus Perhubungan Awam, Pengiran Norikhsan binti Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokther Puteh; Pengurus Pembelian Pentadbiran, Vivian Lim Hui Ling; Pengurus Makmal Kardiovaskular, Hemalatha A/P Suparmaniam; dan Pengarah Kardiologi dan Ketua Kardiologi Bukan Intervensi, Dr Ganesan Thirunavukkarasu yang diwakili oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...