Gleneagles JPMC sumbang $50,000

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat tahunannya, Gleneagles JPMC Sdn Bhd menghulurkan sumbangan kepada lima buah organisasi dengan majlis penyampaiannya berlangsung di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian cek sumbangan kepada kelima-lima buah organisasi berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku ahli Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC.

Pada majlis berkenaan, setiap organisasi iaitu Persatuan Sindrom Down Brunei (ABLE), An-Nur Harapan, Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dan Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) menerima cek berjumlah $10,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa Gleneagles JPMC akan terus memberikan tumpuan kepada menyokong kebajikan masyarakat, kegiatan amal dan inisiatif kebajikan sosial menerusi organisasi-organisasi rakan kongsinya.

Walaupun berhadapan dengan tempoh yang mencabar pada masa ini, Gleneagles JPMC terus komited bukan sahaja untuk menyediakan penjagaan dan rawatan jantung yang terbaik untuk negara tetapi juga untuk mendekati masyarakat di seluruh sektor dalam meningkatkan kesedaran serta mempromosikan nilai-nilai sosial yang terus diterapkan oleh organisasi rakan kongsinya.

Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato menyampaikan cek kepada Timbalan Presiden ABLE, Dayang Siti Zaliha binti Haji Abu Salim; Setiausaha Agung Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Hajah Ja’aranah binti Haji Talip; Pemegang Amanah Eksekutif dan Operasi Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin; Naib Pengerusi YASKA, Tsara’Nawwarah Abdullah Chen serta wakil daripada An-Nur Harapan.

Yang Berhormat Dato juga berpeluang untuk menyaksikan dan mendengar penerangan mengenai program serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap organisasi itu.

Program tanggungjawab sosial korporat Gleneagles JPMC pada tahun ini, menunjukkan komitmen dan usaha kukuhnya untuk terus memberikan impak positif kepada masyarakat.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bergambar ramai dengan wakil organisasi-organisasi yang menerima sumbangan daripada Gleneagles JPMC pada akhir majlis penyampaian.