Global Shapers beriga kepentingan vaksin COVID-19

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Siri Bengkel Homebound yang dianjurkan oleh Global Shapers Community Bandar Seri Begawan diteruskan lagi malam tadi, dengan menyaksikan forum bertajuk Vaccine Hesitancy & Misinformation yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom dan turut disiarkan secara langsung di YouTube Global Shapers Community Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku ahli panel forum bagi membincangkan topik berkenaan ialah Ketua Perhubungan Korporat Kementerian Kesihatan, Dayang Athirah Fakhriah binti Haji Awang Yussof dan PHD Candidate Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health, Prativa Baral yang juga merupakan ahli Global Shapers Community Toronto.

Sementara itu, bertindak selaku moderator pada forum tersebut ialah Awang Fadli M Zaini dan Dayang Nadia Aji dari Global Shapers Community, Bandar Seri Begawan.

Sesi forum yang diadakan tersebut antara lain bertujuan bagi memahami cara vaksin berfungsi dan peranan utama vaksin dalam mengesan wabak selain untuk menyoroti segala keraguan orang ramai terhadap vaksinasi dan memerangi berita palsu serta maklumat yang salah berkaitan vaksin daripada pandangan para profesional kesihatan.

Terdapat tiga jenis vaksin yang tersedia dan yang digunakan pada ketika ini bagi memerangi pandemik iaitu vaksin mRNA yang digunakan dalam vaksin Pfizer dan Moderna, vaksin protein subunit yang digunakan dalam vaksin Novavax dan vaksin viral vektor yang digunakan pada vaksin Astrazeneca.

Prativa Baral seterusnya menjelaskan bahawa kesemua jenis vaksin berkenaan digunakan untuk mempersiapkan imun badan mengenal pasti sebarang pendedahan kepada virus yang menyebabkan COVID-19 agar imun badan dapat melawan kembali dan mengenali virus yang ada di mana peluang bagi kebanyakan mereka yang telah menerima vaksin dengan lengkap untuk mengalami jangkitan COVID-19 yang teruk atau menyebabkan kematian adalah rendah.

Walau bagaimanapun, jelas Prativa Baral, menurut kajian yang dilakukan pada Jun tahun lalu terhadap reaksi dan respons masyarakat terhadap penerimaan vaksin adalah berlainan dari sebuah negara ke negara yang lain.

Sementara itu, Dayang Athirah Fakhriah menjelaskan bahawa satu-satunya cara bagi negara mengatasi gelombang kedua penularan COVID-19 di Brunei Darussalam adalah dengan melaksanakan vaksinasi.

Oleh itu, tambah beliau, Kementerian Kesihatan akan terus memastikan seluruh penduduk dan rakyat di negara ini memahami akan kepentingan pengambilan vaksin secara menyeluruh.

Forum secara maya itu menampilkan Dayang Athirah Fakhriah dan Prativa Baral selaku ahli panel. – Gambar serahan Global Shapers Community Bandar Seri Begawan