Globex Global Logistics terima persijilan ISO

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Sebuah syarikat logistik tempatan, Globex Global Logistics Sdn Bhd telah memperoleh persijilan ISO 9001:2015 setelah berjaya menamatkan audit persijilan dua peringkat yang ketat oleh TUV SUD.

Persijilan itu menunjukkan komitmen serta keupayaan Globex untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi pelanggan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Globex, di sini, hari ini, ia memulakan proses persijilannya pada Mac lalu dan telah menamatkan audit persijilan yang dilaksanakan oleh TUV SUD dalam dua peringkat pada Ogos dan September lalu.

Pengarah Urusan Globex, Danny Chua dipetik menyatakan bahawa syarikatnya berusaha untuk menjadi penyedia penyelesaian logistik pilihan di Brunei dengan menyediakan perkhidmatan yang konsisten dan boleh dipercayai kepada pelanggan mereka.

Beliau juga menyatakan bahawa persijilan itu bukan sahaja menunjukkan komitmen mereka ke arah matlamat itu tetapi juga keupayaan kakitangan syarikat berkenaan.

Kenyataan juga memetik Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad yang menyatakan tahniah kepada Globex kerana menerima persijilan ISO 9001:2015 serta inisiatif mereka untuk menyertai dalam program SCP DARe yang menyediakan khidmat konsultan tajaan penuh kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan bagi standard antarabangsa khusus bagi mempersiapkan mereka sebelum melalui proses pengauditan.

Danny Chua (kanan) menunjukkan sijil ISO 9001:2015 yang diterima oleh syarikatnya, Globex Global Logistics Sdn Bhd. – Gambar oleh Globex