KOTA KINABALU, 9 DIS – Pusat Sehenti Usahawan Global (GLOPEC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China untuk melebarkan sayap perniagaannya ke peringkat antarabangsa menerusi platform e-dagang kedua-dua syarikat tersebut.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulam Haidar Khan Bahadar berkata kerjasama itu akan membuka jalan untuk produk buatan Sabah dipasarkan ke pasaran antarabangsa terutama ke United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).
“Perjanjian kerjasama ini merupakan hasil respons positif terhadap ujian pasaran yang dijalankan di United Kingdom dan China yang menunjukkan minat yang tinggi terhadap barangan keluaran Sabah.
“Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan jualan barangan Sabah ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman pada majlis permeteraian MoU itu, di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Pengarah GLOPEC Sdn Bhd Azmi Aziz, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OMalaysia United Kingdom, Simon Suresh dan Pengarah Urusan HYT Cross Borders China, Datuk Danny Tan.
GLOPEC merupakan usaha kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui anak syarikat milik penuhnya Kristal Handal Sdn Bhd dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), bagi mengurus dan melaksanakan struktur perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sabah terutamanya untuk meneroka pasaran antarabangsa. – Bernama