Glory 560 SUV mampu milik bakal masuk Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Sebuah kereta SUV baharu berjenama DFSK dari China, Glory 560 SUV bakal memasuki pasaran Brunei menerusi T.C.Y. Motors Sdn Bhd dengan pelancarannya akan diadakan secara dalam talian pada bulan ini.

Dengan ruang dalaman yang luas dan selesa bagi memuatkan sehingga tujuh penumpang termasuk pemandu, Glory 560 SUV sesuai bagi keluarga-keluarga berpendapatan sederhana yang inginkan kenderaan lebih besar pada harga mampu milik, menurut kenyataan yang dikeluarkan T.C.Y. Motors.

Kenyataan menjelaskan, kenderaan-kenderaan DFSK dihasilkan dengan standard teknikal kereta Eropah hingga tahap Euro 6 dan akan ditawarkan dengan waranti kenderaan selama tiga tahun atau 60,000km bagi pasaran Brunei.

Selain Glory 560 SUV, satu lagi model yang bakal diperkenalkan pada harga kompetitif adalah Glory 330, MPV tujuh tempat duduk yang sesuai bagi penggunaan komersial dan peribadi.

Glory 560 daripada DFSK bakal memasuki pasaran Brunei tidak lama lagi. – Gambar serahan T.C.Y. Motors