Glory i-Auto, Glory 580 masuk Brunei

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Jenama DFSK mengembangkan lagi barisan kenderaan Glory SUV tujuh tempat duduk yang mampu untuk dimiliki bagi pasaran Brunei dengan TCY Motors selaku pengimport dan penjual bagi jenama automotif China DFSK melancarkan Glory i-Auto dan Glory 580, minggu ini.

Kedua-dua model berkenaan mengetengahkan enjin turbocharged dengan 148hp/220Nm bersama transmisi CVT generasi baharu. Pada masa yang sama, enjin DFSK juga memenuhi kepatuhan ketat EURO-4.

Kenderaan utama jenama iaitu Glory i-Auto merupakan sebuah SUV pintar yang mengetengahkan sistem arahan suara i-Talk yang mempunyai lebih 100 fungsi yang diaktifkan oleh suara dalam Bahasa Inggeris.

Ciri itu boleh diaktifkan dengan mudah menggunakan punat di atas stereng pelbagai fungsi atau dengan hanya menyebut Hi Glory!.

Selain daripada ciri berkenaan, Glory i-Auto juga dilengkapi dengan automatic power tailgate yang diaktifkan menggunakan pergerakan kaki, teknologi lampu LED, skrin sentuh pintar dengan antara muka telefon pintar serta kamera letak kereta 360-darjah.

Manakala itu, kedua-dua model Glory i-Auto dan Glory 580 dilengkapi dengan perakam kenderaan pintar sebagai ciri bonus.

Bagi Glory 580, ia merupakan SUV yang lebih besar berbanding model yang diperkenalkan terdahulu. Ia mempunyai rekaan bentuk badan yang lebih diperkemas, bumbung matahari (sunroof) dan perakam kenderaan.

Ruangan dalaman barisan kenderaan SUV Glory juga mengetengahkan kerusi kulit yang mewah dan ruangan luas yang selesa bagi tujuh orang penumpang pada harga yang kompetitif.

Dari segi keselamatan pula, kedua-dua model mendapat rating lima bintang daripada China NCAP dan ia juga dilengkapi dengan empat beg udara penumpang, ESP dan kawalan tarikan.

Dua model SUV jenama DFSK yang diperkenalkan ke pasaran Brunei oleh TCY Motors pada minggu ini.