GM labur AS$7 bilion dalam kenderaan elektrik

NEW YORK, 20 NOV – General Motors (GM) berkata semalam ia akan merangsang pelaburan dalam teknologi kenderaan elektrik berjumlah AS$7 bilion sehingga pertengahan dekad tatkala ia bersaing dalam perlumbaan teknologi dengan Tesla dan pengeluar kereta lain.

“Perubahan iklim adalah benar, dan kami mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dengan memperkenalkan kenderaan elektrik kepada semua orang,” kata Ketua Eksekutif GM Mary Barra.

“Kami sedang beralih kepada portfolio semua kenderaan elektrik bermula daripada kedudukan yang mantap dan kami menumpu pada pertumbuhan.”

Syarikat gergasi kereta AS itu merancang membelanja AS$27 bilion dalam usaha sama yang baharu sehingga 2025, meningkat daripada AS$20 bilion yang dirancang sebelum pandemik koronavirus.

Rangsangan perbelanjaan modal menyusuli pelancaran trak elektrik Hummer pada bulan lalu dan beberapa siri pengumuman mengenai pembangunan kapasiti pengeluaran kereta elektrik baharu, termasuk memperbaharui kilang lebih lama.

Syarikat itu menganggarkan 40 peratus daripada model AS adalah kenderaan elektrik bateri pada akhir tahun 2025.

Pertumbuhan industri itu sebahagian besar bergantung pada pembinaan lebih banyak stesen mengecas kereta elektrik pada tahun-tahun akan datang. Buat masa sekarang terdapat 28,165 stesen di AS berbanding dengan 168,000 stesen gas di AS, menurut data persekutuan. – AFP

Gambar fail menunjukkan kereta Chevrolet Bolt EV 2020 dipamerkan di Pameran Kereta Antarabangsa Pittsburg di Pittsburg. – AP